My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Baru tadi aku selesai suatu mesyuarat peringkat jabatan. Antara hal yang dibincangkan ialah pencapaian student yang lemah dalam sesuatu subjek. Perbincangan ala-ala post-mortem itu akhirnya berjaya merumuskan punca masalah kemerosotan keputusan pelajar-pelajar tersebut.

Begini ceritanya, perbincangan tadi melibatkan beberapa subjek yang di ajar di jabatan kami. Keputusan pelajar didapati agak teruk dengan majoriti mendapat gred C. Ini suatu perkara yang membimbangkan. Beberapa pensyarah yang berkenaan telah tampil memberikan penjelasannya.

"Student saya boleh jawab soalan ujian jika soalan ujian tersebut mirip kepada soalan latihan yang kami beri". "Jika kami tukar soalan, maka hancurlah jawapan yang diberikan oleh student". "Student-student ini rupanya menghafal soalan dan jawapan sebelum menduduki peperiksaan, sebab itulah mereka boleh jawab soalan yang mirip". "Ini membimbangkan kerana ini menunjukkan bahawa pelajar kita sebenarnya kurang faham apa yang dipelajarinya", kata seorang pensyarah.

"Kalau mereka ini diajar buat karipap, lepas tu suruh mereka buat karipap inti sardin, konfirm tak boleh buat", sampuk seorang pensyarah lain. "Hehe.. tak payah tukar inti, kalau suruh mereka buat karipap yang sama cuma pedas sikit je itu pon belum tentu lagi", tambah seorang lagi pensyarah. Bilik mesyuarat bergema seketika dengan gelak tawa pensyarah. Trend ini juga sebenarnya wujud dalam subjek-subjek yang lain, termasuk subjek yang saya ajar. Budaya menghafal ini sangat membimbangkan.

Menghafal memang mudah (walaupun bagi saya, saya sebenarnya tidak gemar menghafal). Tahukah anda sebenarnya, menghafal merupakan tahap paling rendah dalam penguasaan ilmu? Rajah dibawah menunjukkan tahap penguasaan ilmu daripada tahap terendah (Remember) kepada tahap tertinggi iaitu berkebolehan untuk menganalisa, menilai dan mencipta sesuatu yang baru berdasarkan ilmu yang dipelajari (Analyse, Evaluate, and Create).

 Dipetik daripada "Categories in the cognitive domain of Bloom's Taxonomy (Anderson & Krathwohl, 2001)".

Tahap pembelajaran di sekolah kebanyakannya melibatkan pencapaian ilmu tahap rendah iaitu kebolehan mengingat (yang biasanya dicapai dengan teknik menghafal). Hanya sedikit sahaja pencapaian ilmu pada tahap pemahaman ditekankan di sekolah dan tahap aplikasi (Apply) boleh dikatakan hampir tiada. Penetapan tahap sebegini di sekolah adalah sesuai kerana ini bertepatan dengan tahap umur pelajar yang masih muda.

Masalah akan berlaku jika pelajar universiti masih berada di tahap rendah. Ini kerana, ilmu yang diajarkan di universiti bagi peringkat Ijazah biasanya berada di sekitar tahap kedua (Understand), tahap ketiga (Apply) dan sedikit di tahap keempat (Analyse, Evaluate, and Create). Peringkat pengajian kedoktoran (PhD) akan banyak melibatkan ilmu ditahap keempat (sesuai dengan peringkat pengajiannya).

Jika sesoerang pelajar masih kekal mindanya untuk belajar dengan cara menghafal (teknik pembelajaran tahap paling rendah), maka ini akan menimbulkan masalah kerana mereka tidak mungkin akan dapat mencapai tahap yang baik di dalam pengajian mereka.

Tidak dinafikan, menghafal sangat penting tapi untuk berjaya, namun seseorang pelajar IPT perlu naik ke tahap yang lebih tinggi. Untuk mencapai tahap kedua (pemahaman), pelajar perlu faham akan konsep di sebalik ilmu yang diajar. Untuk faham bukan mudah (kalau mudah tidaklah tahap ini diletakkan di atas tahap pertama) kerena pemahaman memerlukan kepada kebolehan untuk mengkaji maksud tersirat disebalik ilmu yang diajar.

Apabila pelajar sudah faham (mencapai tahap kedua), pelajar akan boleh menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan ilmu yang diajar. Kegagalan untuk memahami ilmu adalah punca utama ramai yang gagal untuk menjadi pelajar cemerlang. Perlu diingat, cara belajar tahap kedua tidak sama dengan cara belajar tahap pertama.

Untuk tahap pertama, cukup sekadar menghafal tetapi untuk tahap kedua, pelajar perlu berfikir dan cuba mencari hubungkait diantara ilmu-ilmu yang diajarkan atau yang dipelajari. Dengan cara itu, barulah kefahaman (penguasaan ilmu tahap kedua) boleh datang (dengan izin Allah SWT). Kalau pelajar tidak berfikir maka pelajar tersebut akan sentiasa terperangkap di tahap rendah.

Dalam artikel saya sebelum ini, telah saya jelaskan kepentingan belajar bersungguh-sunggguh, banyakkan latihan dan selalu membaca. Ini kerana cara ini boleh membentuk minda seseorang supaya berfikir. Apabila seseorang pelajar sudah mahir dalam teknik menguasai ilmu pada tahap kedua, maka pelajar tersebut akan mudah untuk skor dalam peperikaan, malah teknik menghafal mungkin sudah tidak penting lagi kerana kefahaman yang diperolehi akan menguatkan ingatan. Walaupun seseorang pelajar itu tidak menghafal, namun kefahaman yang ada membolehkannya untuk mengingati sesuatu ilmu dengan mudah.

Sebagai contoh, orang yang sudah faham akan konsep pendaraban (Matematik) tidak perlu menghafal bahawa 2 x 3 = 6. Walaupun tidak menghafal, jika dia faham maksud 2 x 3 adalah 2 kali penambahan nilai tiga (3 + 3), atau 3 kali penambahan nilai dua (2 + 2 + 2), maka dia boleh mendapatkan nilai 2 x 3 melalui cara lain (kefahaman) iaitu sama ada dengan menambah 2 + 2 + 2 atau 3 + 3. Lihatlah betapa hebatnya kuasa pemahaman ilmu ini (mungkin bagi contoh ini tidaklah jelas kehebatannya tapi bagi contoh yang lebih kompleks, ia sangat mengagumkan).

Alangkah ruginya mereka yang malas berfikir. Pencapaian ilmu tahap kedua sangat penting kerana tanpanya, tidak mungkin seseorang akan mencai tahap ilmu yang lebih tinggi. Masih tidak terlambat untuk mengorak langkah bagi meningkatkan tahap ilmu kita. Walaupun sudah bekerja, penguasaan ilmu pada tahap yang lebih tinggi akan meningkatkan produktiviti kerja serta kualiti kerja. Penguasaan pada tahap tertinggi boleh mewujudkan budaya inovasi yang kini merupakan, suatu aset yang bernilai dalam menjadi pemangkin pembangunan sesuatu masyarakat.

Ayuh, berfikirlah.... di manakah tahap ilmu anda sekarang?

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

2 comments:

bagi saya "remember" tidak wajar dianggap sebagai aras paling rendah. bahkan ia adalah aras paling asas (bukan rendah).. jika mahu ke peringkat kedua atau seterusnya, maka perlu ada asasnya.

adapun kisah mesyuarat penssyarah jabatn tuan itu, bagi saya mereka sebenarnya mentertawakan diri sendiri.. pelajar adalah cermin pada gurunya.. pelajar tidak mampu berfikir ke peringkat kedua dan seterusnya menunjukkan kegagalan guru mendidik mereka..

buktinya dalam menanda jawaban, pensyarah berpegang dengan Panduan Memberi Markah (PMM).. jika benar kita mahu pelajar berfikir dan membuat inovasi dalam berfikir.. PMM tidak diperlukan.. kerana mungkin pelajar akan menjawab diluar PMM tetapi masih berkait dengan soalan.

bagi saya menghafal adalah aras yang paling asas, dan menghafal adalah sebahagian dari agama Islam... para pemikir barat telah cuba merosakkan pemikiran umat islam dengan mengkritik kaedah menghafal... sedangkan Allah menjaga agamanya melalui penghafal al-Quran... mari berfikir semula

salam sdra, saya ambil sikit post sdra dan beri link semula ke sini, terimaksih kisah yg menarik 99 org itu.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats