My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Tidak dinafikan, setiap yang bergelar manusia pasti pernah melakukan kesilapan. Adalah menjadi tugas kita supaya selalu memohon keampunan daripada Allah SWT dan digalakkan kita untuk beristighfar. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, dikatakan bahawa sekiranya manusia tidak melakukan dosa, maka Allah akan menggantikan manusia dengan kaum yang lain yang berbuat dosa, lalu beristighfar kepada Allah dan Allah pun mengampuni dosa mereka.


"Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari arah barat, nescaya Allah akan menerima taubatnya".   (Hadis riwayat Muslim)

Pintu taubat sentiasa terbuka selagi mana kita masih hidup dan kiamat masih belum tiba. Tidak kira sebesar mana dosa kita dengan Allah, kesemua dosa tersebut akan diampunkan oleh Allah dengan syarat kita telah melakukan sebenar-benar taubat (Taubat Nasuha).

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., bahawa Nabi SAW bersabda (maksudnya) :

Sebelum zaman kamu pernah ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, lalu dia bertanyakan seseorang yang paling alim pada masa itu. Dia pun ditunjukkan kepada seorang rahib. Dia pun berjumpa rahib tersebut. Kepada rahib tersebut, dia memberitahukan bahawa dia telah membunuh 99 orang, apakah kemungkinan taubatnya masih diterima. Rahib tersebut mengatakan bahawa taubatnya tidak mungkin diterima. Orang itu lalu membunuh pula raib tersebut sehingga genaplah 100 orang yang telah dibunuhnya.

Setelah itu dia mencari orang yang paling alim lagi pada zamannya, lalu ditunjukkan kepadanya seorang alim. Ia lalu mengatakan kepada orang alim tersebut bahawa dirinya telah membunuh 100 orang, apakah mungkin jika dia bertaubat, taubatnya akan diterima? Orang alim tersebut menjawab, "Ya, masih diterima. Siapakah yang boleh menghalangi antara seseorang dan taubatnya ?". "Sekarang, pergilah engkau ke kampung ini dan ini, kerana di sana terdapat orang yang beribadah kepada Allah. Beribadahlah kepada Allah bersama mereka. Janganlah engkau kembali ke kampungmu, kerana kampungmu itu kampung yang teruk."

Orang itu pun lalu berangkat. Ketika dia sedang dalam perjalanan, tiba-tiba maut datang menjemputnya. Melihat kejadian itu, bertengkarlah malaikat pembawa rahmat dan malaikat yang bertugas menyeksa. Malaikat rahmat berkata, "Dia datang dalam keadaan sudah bertaubat secara ikhlas kerana Allah". Malaikat azab berkata, "Benar, namun dia belum berbuat kebaikan sama sekali?". Seterusnya, datanglah seorang malaikat lain yang menyerupai dirinya dalam bentuk manusia untuk mengadili pertengkaran mereka.

Malaikat itu berkata, "Kalau begitu, ukurlah akan kamu jarak dari sini ke kampung yang ditinggalkan dan ke kampung yang handak dituju lelaki itu; ke kampung mana yang lebih dekat, bererti dialah yang berhak ke atas orang ini". Kedua-duanya lalu sama-sama mengukur dan ternyata kedudukan orang tersebut lebih dekat pada kampung yang ditujunya. Akhirnya, malaikat rahmat pun membawa orang tersebut.   (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam Nawawi mengatakan bahawa menurut para ulama, bertaubat daripada setiap dosa itu wajib. Jika dosa yang terjadi berhubung dengan Allah tanpa ada sangkut-pautnya dengan manusia, maka syarat bertaubatnya ada 3, iaitu:

  1. Menghentikan perbuatan dosanya
  2. Menyesal atas dosa yang dikerjakan
  3. Bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut buat selamanya

Jika dosa yang ada sangkut pautnya dengan manusia (seperti menfitnah, menceritakan keburukan orang lain dan yang seumpama dengannya) maka syarat bertaubatnya ditambah satu perkara iaitu:

  1. Keampunan daripada pihak yang dizalimi

 Jika bersangkutan dengan harta atau barang lain, maka ditambah satu lagi syarat:

  1. Mengembalikan barang/harta yang diambil atau menggantikan barang/harta tersebut.

Oleh itu marilah kita bertaubat kepada Allah SWT. Bertaubatlah kerana kita tidak sekali-kali akan rugi sekiranya kita bertaubat. Allah tidak meminta sebarang bayaran ataupun cagaran bagi taubat kita kepadaNya. Sebaliknya, taubat kita kepada Allah boleh mengampunkan dosa kita dan menjadikan kita tergolong di dalam golongan ahli syurga. Moga taubat kita semua diterima Allah.

Amiin..

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats