My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Terus terang saya katakan, saya bukanlah jenis yang ambil peduli tentang industri muzik tanah air, mahupun mengikuti perkembangan terkini muzik tempatan, namun sejak mendengar lagu 'Kalau berpacaran' nukilan Suhaimi Mior Hassan, saya terpanggil untuk menulis sesuatu tentangnya di dalam blog saya.

Mungkin ramai yang telah lama mendengar lagu yang saya sebutkan di atas, yang kononnya menceritakan 'adab-adab' ber-dating yang 'betul'. Insya-Allah, saya akan kupas lirik lagu ini dalam konteks islam (kerana dalam lirik lagu tersebut ada rujukan kepada 'orang beriman').
Berikut adalah petikan daripada lirik lagu tersebut:

Kalau berpacaran memang banyak pantang larang
Menjaga susila ibu bapa adik abang
Apabila berdua carilah tempat yang terang
Agar tidak pula mencoba aksi terlarang

Chorus:
Boleh pandang-pandang jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang bertambah sayang
Biar malu-malu biar segan-segan
Kerna malu itu perisai orang beriman

Kalau berpacaran jangan tunggu lama-lama
Kalau dah berkenan jumpalah ayah dan mama
Hantarkan rombongan meminang dengan segera
Kalau terlambat kekasihmu disambar buaya

Ulang Chorus


Yeah kita sambung cerita
Kalau kamu berdua aku yang ketiga
Aku penambah perasa
Akulah pendarab nafsu serakah
Hai teruna bikin perangai selamba
Hati si dara kata tak apa
Berani buat terima padah
Kalau tak sedia ucap syahadah

Ulang Chorus

Boleh pandang-pandang (boleh pandang-pandang)
Jangan pegang-pegang (boleh pegang-pegang)
Duduk renggang-renggang (duduk rapat-rapat)
Bertambah sayang (nanti confirm dapat)
Biar malu-malu (jangan malu-malu)
Biar segan-segan (jangan segan-segan)
Kerna malu itu perisai orang beriman (hahahaha)

'Kalau berpacaran memang banyak pantang larang' ?? Adik-adik sekalian, jangan tertipu dengan ayat tersebut yang kononnya berpacaran itu boleh dan perlu mengikut pantang larang tertentu. Sebenarnya, berpacaran itu haram di sisi islam kerana ia termasuk salah satu perbuatan menghampiri zina. Betul, berpacaran tidak semestinya berzina namun aktiviti tersebut merupakan antara langkah-langkah yang boleh menjurus ke arah zina, dan inilah yang Allah larang dan tekankan di dalam Al-Quran:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [Al-Quran, Surah Al-Israa (17): 32]

Di dalam ayat di atas, jelas Allah melarang umat islam dari menghampiri zina. Kalau berpacaran pun dilarang islam, tak perlulah kita bicara isu duduk jauh atau rapat, malu atau tak malu, tempat gelap atau terang dan sebagainya.

'Boleh pandang-pandang' ?? Mari kita tengok apa yang Allah kata di dalam Al-Quran, surah An-Nuur ayat 30 dan 31:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. [Al-Quran, Surah An-Nuur (24) : 30]

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. [Al-Quran, Surah An-Nuur (24) : 31]

Kedua-dua ayat di atas juga jelas menceritakan bahwa lelaki dan perempuan yang beragama islam perlu menjaga pandangan dari memandang yang haram. Berpandangan sesama berlainan jantina tidaklah haram untuk tujuan yang dibolehkan oleh Allah (contohnya: berjual beli) kerana jual beli itu harus, namun dilarang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah (contohnya: berpacaran).


Terlalu banyak lagu-lagu yang membicarakan perkara-perkara yang terlarang di dalam islam. Namun begitu, bagi saya lagu-lagu seperti 'Kalau berpacaran' ini cukup bahaya kerana liriknya membawa mesej yang mengelirukan, iaitu dengan mengaitkan 'orang beriman' dan berpacaran, dua perkara yang cukup kontra, seolah-olah orang beriman juga boleh berdua-duaan dengan pasangan mereka dengan 'cara yang islam benarkan'. Ohh, ironinya.

Mungkin bagi mereka yang telah kuat akan fahaman islam, tahu akan betapa mengarutnya lirik lagu tersebut, namun apa yang saya bimbangkan ialah golongan muda yang masih kurang kefahamannya tentang selok-belok hukum hakam islam. Mereka mungkin akan terpengaruh dengan lagu-lagu sedemikian dan mempunyai suatu fahaman yang kononnya islam membolehkan perkara tersebut dengan batas-batas tertentu.

Bagi yang masih kurang jelas, sebenarnya di dalam islam, tiada konsep berpacaran, berdating atau bercouple. Tiada konsep couple islamik, dating cara islam atau yang seumpama dengannya.

Seharusnya penulis lirik lagu perlu lebih peka terhadap hukum hakam islam. Pendengar lagu juga perlu peka dengan apa yang mereka dengar dan jangan jadikan pekara yang bertentangan dalam islam sebagai siulan harian.
 

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats