My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Takjub saya melihat gambar di atas. Gambar di atas di ambil (oleh Syaharim Abidin) di Kampung Padang Telok, Kedah baru-baru ini. Kita sedia maklum bahawa Kedah merupakan antara negeri yang teruk mengalami musibah banjir akibat peralihan angin monsoon barat daya ke timur laut. Sekali imbas, kita nampak penduduk kampung sedang berdoa di atas jalan sawah padi. Namun tahukah anda, penduduk di situ sebenarnya sedang mengadakan kenduri doa selamat sebagai tanda kesyukuran terselamat daripada banjir. Kampung mereka ditenggelami banjir dan mereka masih sempat mengingati Allah dan yang paling penting, rasa syukur mereka terhadap nikmat Allah SWT, diselamatkan dari bencana (dan jauh lebih baik daripada mereka yang hanya merungut kerana bantuan lewat sampai dan tak henti-henti menangis dan bersedih meratapi nasib malang yang menimpa mereka kerana kehilangan harta-benda). Moga Allah merahmati mereka dan semua mangsa banjir.

Firman Allah SWT:
Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih". (Al-Quran, Surah Ibrahim:7)

Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersyukur dengan APA SAHAJA yang menimpa diri, sama ada perkara buruk mahupun baik. Mungkin ada yang bertanya, mengapa perlu bersyukur jika ditimpa perkara buruk? Jawabnya mudah, bagaimana kalau perkara yang lebih buruk daripada itu yang menimpa? Tidakkah kita perlu bersyukur kerana diselamatkan daripada perkara yang lebih buruk?

Kalaupun tidak berlaku sebarang perkara baik mahupun buruk di dalam kehidupan kita, tatkala itu juga kita perlu bersyukur kerana kehidupan kita sebenarnya jauh lebih baik berbanding orang lain. Orang yang kehidupannya paling teruk di muka bumi juga perlu bersyukur kerana Allah memberi peluang kepadanya untuk hidup.

Lihat sahaja negara-negara di benua Afrika terutamanya, mereka terpaksa berebut tatkala bantuan makanan tiba kerana kekurangan makanan, walhal kita rakyat Malaysia, ada yang makan sehingga 5 kali sehari di restoran-restoran besar yang menghidangkan makanan yang lazat serta mahal.

Dalam riwayat Ibnu Jarir ada disebut bahawa tidak pernah Rasulullah SAW kenyang dari roti gandum tiga hari berturut-turut sejak beliau datang ke Madinah sehingga beliau meninggal dunia. Rasulullah juga dikatakan memohon ampun pada Allah 70 kali sehari dan apabila ditanya oleh isterinya Aisyah kenapa baginda banyak melakukan amal ibadat dan berishtighfar, jawab baginda, "Wahai Siti Aisyah! Apakah tidak wajar aku ini menjadi seorang hamba yang amat bersyukur kepada Tuhannya?".

Bandingkanlah betapa berbezanya kehidupan Rasulullah (yang dijamin masuk syurga) dengan kehidupan kita sekarang? Bukankah kita sepatutnya lebih banyak bersyukur dan memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa kita?

Oleh itu, belajarlah bersyukur kepada Allah. Tidak sukar untuk menimbulkan rasa syukur. Sentiasalah bermuhasabah, melihat dan menggauli mereka  yang serba kekurangan berbanding kita. Jangan sesekali terlalu asyik dengan mereka yang dilebihkan Allah di dalam sesuatu aspek berbanding kita kerana sikap itu menghilangkan rasa syukur.

Sebagai contoh, mereka yang berkereta biasa janganlah bandingkan diri dengan mereka yang berkereta mewah, sebaliknya bandingkan diri dengan mereka yang cuma ada motosikal sahaja dan dari situ jika direnungkan, maka akan timbul rasa syukur. Allah mengizinkan kita untuk memiliki kereta sedangkan ada yang hanya mampu bermotosikal. Mereka dibasahi hujan tatkala kita selesa di dalam kereta.

Orang yang hanya bermotosikal, bandingkanlah diri dengan mereka yang berbasikal. Orang yang hanya berbasikal, bandingkanlah diri dengan mereka yang berjalan kaki. Orang yang berjalan kaki, bandingkanlah diri dengan mereka yang tiada kaki atau tidak mampu berjalan. Orang yang tidak mampu berjalan, syukurlah kerana anda masih hidup di dunia ini kerana ada orang yang tidak lagi dapat melihat keindahan dunia.

Pendek kata, setiap orang yang hidup di muka bumi ini ada ruang untuk bersyukur. Paling tidak, bersyukurlah kerana Allah memberi kita peluang untuk hidup.

Ingat, setiap yang berlaku adalah di dalam pengetahuan Allah jua dan berlaku dengan seizinNya. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Setiap ujian yang ditimpakan atas seseorang hamba adalah sesuai dengannya. Mohonlah ampun pada Allah dan bersyukurlah kita dengan segala nikmat yang Allah berikan.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan golongkanlah kami dikalangan hamba-hambamu yang bersyukur. Kurniakanlah kami akan kefahaman agama dan jauhkanlah kami daripada siksa api neraka.
 

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

2 comments:

syukran :)

Harrah's Atlantic City - Mapyro
View the Harrah's Atlantic City, realtime driving 창원 출장마사지 directions, reviews and 부천 출장마사지 information for Harrah's Atlantic City, Atlantic 서산 출장안마 City, 아산 출장마사지 NJ, including traffic 남원 출장샵 updates,

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats