My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Kadangkala aku suka memikirkan keadaan diriku jika berada di dalam situasi orang lain, terutamanya dari segi pekerjaan. Pernah suatu hari aku melihat pekerja-pekerja pemungut sampah singgah dari suatu rumah ke rumah yang lain memungut sampah untuk dicampakkan ke lori sampah. Sebaik sahaja lori tersebut menghampiri rumahku, bau yang kurang menyenangkan memenuhi ruang udara. Aku mula terbayang jika aku bekerja sebagai seorang pemungut sampah.....


Aku terpaksa mengangkut sampah dari rumah ke rumah, dalam cuaca yang tidak menentu. Kadang-kadang aku terpaksa bekerja di bawah sinaran terik mentari, dan ada juga keadaan yang mana memerlukan aku bekerja di bawah deraian hujan. Dengan bau sampah yang kurang menyenangkan, rupa sampah yang penuh dengan ulat dan pelbagai 'anasir-anasir' yang boleh meloyakan tekak dan menghilangkan selera makan aku selama seminggu. Gaji pula tidaklah seberapa. Setakat cukup makan.

"Kenapalah mereka sanggup untuk melakukan kerja sedemikian ?" fikirku. Kadang-kadang aku bertanya pada diriku sendiri, "Sanggupkah aku melakukan kerja-kerja sedemikian?". Tidak dinafikan, kerja memungut sampah bukanlah suatu pekerjaan yang hebat yang boleh dijadikan cita-cita, namun pekerjaan ini sebenarnya SANGAT PENTING.

Tahukan anda !
Di Malaysia, purata setiap penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram sampah setiap hari, berbanding 0.8 kilogram bagi penduduk luar bandar. [1]

Bayangkan jika suatu kawasan perumahan bandar mempunyai 1000 penduduk, dan sampah tidak dipungut hanya selama 1 minggu, maka sebanyak 1.5 tan sampah akan memenuhi kawasan tersebut. Kawasan itu akan menjadi suatu 'tapak pelupusan sampah mini'. Begitulah pentingnya akan pekerjaan ini.

Tidak aku sangka, kerja yang sebegini kecil sebenarnya mempunyai kesan yang cukup besar kepada kehidupan seharian kita. Jika kita fikirkan, semua kerja-kerja yang kecil dan remeh di mata masyarakat seperti pemotong rumput, tukang sapu, pencuci tingkap, pencuci tandas, pekerja pembentungan, dan seumpamanya sebenarnya sama penting dan masing-masing sangat memberi kesan kepada masyarakat.


Pekerjaan-pekerjaan seperti ini mungkin tidak se-famous artis-artis di media massa namun sumbangan mereka bagi saya, jauh lebih baik dan mulia. Sekurang-kurangnya, apa yang mereka lakukan mendatangkan kebaikan kepada seluruh masyarakat. Setiap pekerjaan mereka mendapat ganjaran pahala di sisi Allah jika mereka melakukannya dengan baik.

Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Membuang duri, atau apa saja yang mengganggu di jalan adalah suatu derma; sedekah (yang akan mendapat pahala dari Allah SWT)" [Bukhari]

Oleh itu, kita harus bersyukur kerana ada manusia yang sanggup melakukan kerja-kerja sedemikian. Janganlah kita pandang mereka dengan pandangan yang hina kerana sesungguhnya pekerjaan mereka adalah suatu perkerjaan yang mulia. Hormatilah mereka kerana tanpa mereka, hidup kita serba kekurangan...



Rujukan:
[1] - Abu Bakar Bin Yang. Sampah Di Mana Kesedaran Masyarakat ? (IKIM). Julai 2009. Online: http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=1826&cmd=resetall

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

1 comments:

good sharing zai.. yg xbole thn, ade khir toyo pgang penyapu.. mmg best

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats