"Sir, macam mana nak mahir programming ?". "Ada apa-apa tips nak nak score pointer tinggi ?". "Macam mana nak jadi top student ?". Itu adalah antara soalan-soalan yang sering diajukan kepadaku sejak aku memulakan tugas menjadi salah seorang tenaga pengajar di sebuah IPTA di selatan tanah air. Secara terus terang, pertanyaan-pertanyaan sebegini membuatkan aku sedikit gembira kerana terpancar keazaman pada diri pelajar yang bertanya itu untuk menjadi pelajar yang lebih baik. Namun begitu, kegembiraan itu hanya seketika setelah melihat riak wajah mereka apabila mendengar jawapan balas dariku.
"Belajar rajin-rajin", jawabku ringkas memulakan bicara. "Beri tumpuan dalam kelas, banyakkan buat latihan untuk menguasai subjek..... dan banyakkan membaca untuk tambahkan pengetahuan". Setelah aku habiskan ayat tadi, pelajar yang bertanya biasanya akan mula menunjukkan riak muka yang pelik... sukar untuk aku digambarkan dengan kata-kata. "Tak ada cara lain ke yang lebih senang ?". Sambil tersenyum, aku menjawab, "Tiada".
Entah dimana silapnya, ada pelajar-pelajar sekarang yang mempunyai suatu cara berfikir yang kurang sihat. Golongan ini beranggapan bahawa pasti ada suatu cara yang lebih mudah untuk mengecapi sesuatu. Pernah suatu ketika aku mengarahkan pelajarku ke perpustakaan untuk mencari bahan rujukan kelas. Bagi memudahkan mereka, aku nyatakan sekali nombor rak buku yang perlu mereka cari. Namun, jawapan mereka menyebabkan aku sedikit hampa.
"Susah la sir nak ke library. Sir bagi jer la... kan senang". Aku menggelengkan kepala mendengar jawapan pelajar-pelajar sekarang. Mereka seolah-olah hilang semangat untuk belajar dan mencari ilmu. Budaya "spoon feeding" sangat menebal di dalam diri mereka.
Memang benar, perkembangan teknologi sekarang telah memungkinkan banyak perkara dikecapi dengan jauh lebih mudah berbanding dahulu. Namun demikian, perlu kita sedar bahawa dalam banyak-banyak perkara, ada sesetengah perkara yang hanya boleh dicapai dengan usaha yang gigih dan keazaman yang tinggi.
Pelajar-pelajar sekarang perlu sedar bahawa belajar adalah suatu jenis jihad yang sukar. Seseorang terpaksa bersengkang mata lewat malam untuk mengulangkaji dan menghafal, mencari bahan rujukan untuk menyiapkan artikel/tesis/paper, membuat banyak latihan bagi setiap subjek yang diambil, dan pada masa yang sama, perlu untuk menguruskan diri, merancang masa untuk melakukan aktiviti seharian dan melakukan ibadat-ibadat khusus serta bergaul dengan masyarakat sekeliling.
Banyak tugas yang perlu dilaksanakan oleh seseorang pelajar, namun kebanyakan daripada tugas tersebut telahpun dimudahkan dengan perkembangan teknologi moden sekarang. Pembelajaran menjadi lebih mudah dengan adanya internet. Dengan hanya menggunakan komputer, pelbagai maklumat boleh diperolehi dalam masa yang singkat.
Pelajar di zaman dahulu perlu menempuh cabaran yang jauh lebih hebat. Kebanyakan mereka masih tiada kenderaan dan terpaksa berjalan kaki dari tempat kediaman ke perpustakaan untuk mencari bahan rujukan. Mereka hanya bergantung kepada nota-nota pelajar senior atau nota-nota yang disalin semasa sesi kuliah untuk ulangkaji. Tiada slaid powerpoint mahupun sebarang bentuk softcopy nota. Pelajar terpaksa berulang alik ke bilik pensyarah bagi mendapatkan kefahaman yang lebih tentang sesuatu subjek namun, adakalanya usaha mereka hampa kerana pensyarah tiada di bilik atas urusan lain. Tiada telefon bimbit atau e-mel bagi memudahkan komunikasi pensyarah dengan pelajar.
Pelajar zaman ini cukup bertuah. Semuanya sungguh mudah untuk mereka. Mungkin terlalu mudah sehingga kemudahan-kemudahan ini secara tidak langsung mencabut kebolehan mereka untuk berdikari di dalam menuntut ilmu. Tokoh-tokoh ilmuan dahulukala terkenal dengan kisah hidup yang sebahagian daripadanya memerlukan mereka untuk merantau dari satu bandar ke bandar yang lain bagi mencari ilmu. Perjalanan yang sukar tidak sedikitpun melunturkan semangat mereka untuk mencari ilmu. Sebaliknya, mereka ini menjadi tokoh yang sangat disegani kerana penguasaan ilmu mereka yang tinggi.
Seharusnya, pelbagai kemudahan yang dikecapi sekarang menjadikan pelajar sekarang lebih cemerlang. Kemudahan yang banyak tidak bermakna mereka boleh relax and slow down the pace. Pelajar seharusnya sedar bahawa setiap kejayaan perlu pada pengorbanan. Mereka perlu bersyukur dengan segala kemudahan yang mereka kecapi tanpa mengambil kesempatan terhadap peluang yang ada. Ingatlah Allah SWT berfirman:
Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Al-Quran, Ibrahim: 7)
Bersyukur dan berusahalah untuk menjadi pelajar yang terbaik. Jadikan kemudahan yang dinikmati sebagai batu loncatan yang memungkinkan pencapaian kepada suatu tahap yang lebih baik dari sebelumnya. Ingat, tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan.
Easy come... easy go...
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
3 comments:
Assalamulaikum,
Suka saya cadangkan disini:
Bagi pelajar-pelajar yang nak pandai secara express ni.. maka kena ikut cara express juga.
cadangan ini berdasarkan pengalaman/cara saya belajar (yang saya praktikkan sehingga sekarang)
1. pupuk minat dengan lihat contoh2 hasil orang lain. senaraikan 10 ciri2 yang menarik dari program2 itu yang ingin anda contohi.
2. minta panduan dari pensyarah. minta pensyarah bantu dengan memberikan 10 keyword untuk di cari di internet. buat kajian.
3. dapatkan contoh2 coding dari program open source dan cuba hasilkan yang hampir serupa.
4. mulakan dengan yang asas dan ringkas, asalkan berfungsi supaya anda tak mudah putus semangat. teruskan menambah keupayaan program anda sehingga ia lengkap.
contoh2 program open source boleh di dapati dari pensyarah anda, senior, atau dari sumber2 open source di internet seperti sourceforge atau hotscript). Download dan lihat ia berfungsi. Tapi jangan claim itu program anda pula ya! Buat program ada sendiri.
sesetengah pelajar tidak suka gaya belajar dengan buku. ada yang suka teroka sendiri. jika itu cara yang dipilih, maka gunakan "minat" sebagai dorongan, enjin carian (internet) sebagai "buku rujukan" dan pensyarah sebagai mentor.
contoh2 coding dari internet boleh digunakan sebagai batu tanda / matlamat pendek pelajar dalam mengukur keupayaan / penguasaan / pemahamannya terhadap subjek2 terbabit.
ssh kalu xda minat utk belajar..kalu dsekolah boleh la disuap2, bila dh msk alam IPT sume berubah..student xleh terlalu bgntung pd pensyarah..bg nasihat pn xguna kalu bdk xde minat n xseronok nk belaja..markah nk tinggi, usaha xnk.bila dpt markah rendah ckp pensyarah kedekut markah..emmm, ssh 2..senang2 suruh bdk2 nih wat IPT sendiri..
Post a Comment