My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Semalam aku sempat mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz di Masjid Intan Abu Bakar, Taman Sri Pulai. Dalam banyak-banyak perkara yang dibincangkannya, aku tertarik dengan suatu kupasan menarik yang dibuatnya tentang dosa mengumpat.

Ramai yang menyangka bahawa kalau kita bercerita sesuatu (hal buruk) yang benar tentang peribadi seseorang, kita tidak berdosa kerana kita hanya menceritakan hal yang sebenar, tidak berbohong. Kita juga tidak menfitnah kerana tiada unsur tokok tambah dalam cerita kita. Namun begitu, adakah islam memandang sedemikian?

Ketahuilah bahawa menceritakan keburukan seseorang itu adalah termasuk salah satu dosa yang besar.
Rasulullah SAW ada menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda yang bermaksud: “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis di atas menjelaskan tentang makna mengumpat. Perkara yang dibenci di sini boleh merujuk kepada sebarang perkara yang mengaibkan atau tidak disukai oleh orang yang diumpat. Mengumpat sangat ditegah dan dibenci Allah SWT. Allah berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Quran, Al-Hujuraat, 12)
Allah SWT mengumpamakan orang yang mengumpat seperti orang yang makan bangkai saudaranya sendiri. Begitulah hinanya orang yang mengumpat. Dosa orang yang mengumpat juga lebih dahsyat daripada berzina. Umum mengetahui zina merupakan salah satu dosa besar. Namun demikian, dosa mengumpat ini jauh lebih besar berbanding zina.
Sabda Rasulullah saw bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang yang melakukan umpatan tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).
Begitulah besarnya dosa mengumpat. Keampunan dosanya bergantung kepada keampunan orang yang diumpatnya. Selagi kita tidak diampunnya, selagi itulah kita akan terus berdosa. Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili di akhirat, seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah berfirman: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui". Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat.

Oleh itu, jagalah lidah kita daripada bahaya mengumpat. Menceritakan keburukan atau keaiban orang lain mungkin seronok kerana kita akan menjadi centre of attention kerana menjadi pembekal gosip atau cerita-cerita panas yang sensasi, yang secara lumrahnya suka didengar oleh kebanyakan manusia di bumi ini. Namun, keseronokan dan kegembiraan dunia yang sedikit ini tidak terbanding dengan azab yang bakal menanti kita di akhirat kelak.

Watch before you leap. Think before you speak...

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

1 comments:

Moga kita semua dpt pelihara lidah drpd mengumpat

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats