Hari ni merupakan antara hari-hari terakhir kita berada di bulan Syaaban, bulan yang bakal menjemput suatu bulan yang mulia, penghulu segala bulan, bulan rahmat, bulan berkat, bulan diampunkan dosa dan dilipatgandakan pahala, bulan ditutup pintu neraka dan dibelenggu syaitan durjana, bulan turunnya Al-Quran, bulan yang menyimpan rahsia malam lailatul qadar, bulan yang kita semua nanti-nantikan dengan penuh kerinduan yakni bulan Ramadhan.
"Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." [Surah al-Baqarah, 2:183]
Fadhilat bulan Ramadhan terlampaulah banyak sehinggakan para sahabat Nabi SAW ternanti-nanti akan kehadirannya. Nabi Muhammad SAW sendiri turut melakukan persediaan bagi menyambut bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amalan berpuasa. Daripada Aishah r.a., beliau berkata:
"Nabi SAW tidak pernah berpuasa di luar bulan Ramadhan yang lebih banyak daripada yang beliau mengerjakan pada bulan Syaaban. Sesungguhnya beliau berpuasa pada bulan Syaaban sebulan penuh". Dalam riwayat lainnya disebut, "Baginda berpuasa pada bulan Syaaban, kecuali hanya sedikit hari sahaja yang baginda tidak berpuasa padanya". [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Para sahabat juga sangat sukakan berpuasa sehingga ada yang hendak berpuasa tanpa berbuka namun ditegur Nabi SAW. Ada juga yang berpuasa wishal iaitu puasa tanpa berbuka dan bersambung esoknya. Contoh puasa wishal adalah seperti berikut, yakni mula berpuasa pada hari Isnin tanpa berbuka dan bersahur sehinggalah ke hari Khamis, maka barulah mereka berbuka. Mereka lakukan ini kerana inginkan pahala disisi Allah tetapi ditegur Nabi. Ibn Umar r.a. berkata:
Rasulullah SAW melarang puasa wishal. Para sahabat bertanya kepada baginda, "Tapi mengapa engkau (Nabi SAW) sendiri melakukannya ?". Baginda menjawab, "Sesungguhnya aku bukan seperti kamu. Aku diberi makan dan minum (oleh Allah)". [Hadis riwayat al-Bukhari dan muslim]
Lihatlah betapa bersemangatnya para sahabat untuk mengejar pahala. Contoh yang saya berikan di atas hanyalah berkaitan dengan ibadat puasa. Sebenarnya, banyak lagi amalan-amalan lain yang dikerjakan oleh Nabi SAW dan para sahabat di dalam mengecapi redha Allah SWT.
Kita tatkala mendengar kisah-kisah tentang kesungguhan umat terdahulu dalam mengerjakan amal ibadat, berasa teringin untuk menurut jejak langkah mereka namun seringkali terasa sangat berat dan kadangkala tidak mampu untuk melakukannya. Kenapa boleh berlaku sedemikian? Tidak lain dan tidak bukan kerana kotornya hati kita dengan dosa dan maksiat.
Bulan Ramadhan yang bakal tiba ini memberi peluang terbaik bagi kita untuk membersihkan diri daripada dosa dan meningkatkan amal ibadat. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan atas dasar keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.
Sesiapa yang melaksanakan qiyam pada bulan Ramadhan atas dasar keimanan dan mengharapkan redha Allah, maka dosa-dosa yang telah lalu akan diampuni.
Sesiapa yang bangun melakukan qiyam lailatulqadar atas dasar keimanan dan mengharapkan redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Maka dengan itu maka berpuasalah serta perbanyakkanlah amalan sunat atas dasar keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT di bulan Ramadhan jika kita inginkan keampunan oleh Allah SWT. Beruntunglah mereka yang diampunkan dosanya oleh Allah SWT.
Janganlah kita merasa jemu dalam mengejar keampunan dan rahmat Allah SWT. Berdoalah kepada Allah agar diberi kekuatan bagi mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadat di dalam bulan Ramadhan yang bakal menjelang.
Seperkara penting di dalam bulan Ramadhan, selain berpuasa dan mengamalkan ibadat sunat, ialah perilaku kita di bulan Ramadhan. Jagalah mulut, mata dan anggota badan yang lain daripada melakukan perkara sia-sia dan maksiat.
Tinggalkanlah bercakap perkara yang sia-sia, mengumpat, bergosip, ghibah (menceritakan sesuatu perkara tentang orang lain yang tidak disenanginya), menyanyi dan yang seumpama dengannya. Jika kita tidak mampu untuk berzikir kepada Allah, seelok-eloknya kita pelihara diri kita dengan tidak berkata-kata (diam). Sesungguhnya diam itu lebih baik daripada mengeluarkan perkataan yang sia-sia.
Peliharalah mata daripada memandang yang haram. Tinggalkanlah menonton TV atau filem dan banyakkanlah menatap kitab suci Al-Quran dan membacanya. Jagalah pandangan mata ketika berjalan di pasar atau pusat membeli belah. Elakkanlah melawati laman web yang tidak berfaedah dan laman web yang boleh mendedahkann kita dengan gambar-gambar mereka yang tidak mendedahkah aurat.
Sukarnya jalan untuk mencapai takwa kerana banyak perkara yang perlu dijaga. Ubay bin Ka'ab ketika menjawab pertanyaan Umar al-Khattab tentang Takwa, mengumpamakan Takwa ibarat berjalan menerusi suatu jalan yang dipenuhi duri-duri, yang mana kita perlu berhati-hati dan berusaha untuk menghindarinya.
Jika kita benar-benar inginkan keampunan Allah SWT maka rebutlah peluang 'Mega' ini yang hanya datang setahun sekali. Sedarlah bahawa kita hidup bukanlah untuk mengecapi kesenangan dunia, sebaliknya untuk menimba sebanyak mungkin bekalan bagi menuju ke alam akhirat kelak. Beruntunglah mereka yang memanfaatkan masa mereka di dunia dengan amal kebajikan.
Janganlah bertangguh kerana maut boleh datang menjemput kita pada bila-bila masa. Rebutlah peluang untuk mendapatkan keampunan Allah dan perbanyakkanlah amal ibadat di Ramadhan ini, seolah-oleh ini Ramadhan yang terakhir buat kita.
Sudahkah anda bersedia untuk menghadapai Ramadhan ?
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
0 comments:
Post a Comment