"Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah. Tiada sekutu bagi-Mu dan kami memenuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, dan nikmat, begitu juga kerajaan adalah milik-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu". Itulah makna bagi kalimah Talbiah yang sinonim bagi jemaah haji yang pergi menyahut seruan Allah dalam melaksanakan rukun Islam ke-5.
Bagi mereka yang belum diizinkan Allah untuk menunaikan haji, kita dituntut agar melakukan beberapa jenis ibadah, antaranya ibadah korban dan puasa sunat. Ibadah puasa yang dimaksudkan di sini ialah ibadah puasa sunat pada hari Arafah, iaitu pada 9 Zulhijjah. Puasa Hari Arafah hukumnya sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji.
Di dalam suatu hadis daripada Abu Qatadah r.a., beliau berkata bahawa:
"Rasulullah pernah ditanya tentang (keutamaan) puasa hari Arafah, baginda menjawab, 'Menghapuskan dosa selama setahun yang lalu dan yang akan datang'". [Hadis riwayat Muslim]
Oleh itu, marilah kita menanam keazaman untuk melaksanakan puasa sunat di Hari Arafah pada setiap tahun apabila tibanya 9 Zulhijjah. Ingatlah, apa yang dipertuturkan Nabi SAW adalah benar belaka. Manusia akhir zaman seperti kita sentiasa tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Ambillah peluang ini untuk membersihkan diri daripada dosa.
Semoga Allah menerima ibadah kita...
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
0 comments:
Post a Comment