My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Seringkali kita mendengar keluhan sesetengah orang yang mengatakan bahawa dia telah sekian lama berdoa namun tidak dikabulkan. Tahukan anda bahawa perbuatan sebegini sebenarnya adalah antara punca sesuatu doa itu tidak dikabulkan?

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa (maksudnya) :

Rasulullah SAW bersabda, "Doa seorang hamba tentu akan dimakbulkan selama mana dia tidak berdoa yang isinya mengandungi dosa, untuk maksud memutuskan silaturrahim, atau minta segera dikabulkan". Ada seorang yang bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana yang dimaksudkan dengan meminta untuk segera dikabulkan?". Baginda menjawab, "Seseorang berkata, 'Sesungguhnya aku sudah berdoa dan berdoa, namun sehingga saat ini aku belum melihat doaku dikabulkan', sehingga saat itu juga dia merasa penat berdoa dan tidak mahu lagi berdoa".   (Hadis riwayat Muslim) 

Doa adalah senjata umat islam. Kita digalakkan supaya berdoa setiap hari. Doa tidak semesti hanya untuk diri kita. Kita sebenarnya boleh juga berdoa untuk orang lain, seperti keluarga, sahabat, jiran dan juga kepada sekelian umat islam yang lain. Tidak rugi kalau kita berdoa untuk orang lain kerana kebaikan doa tersebut akan turut diperoleh oleh mereka yang mendoakannya. Daripada Abu Darda' r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

Doa seorang muslim untuk saudaranya (sesama muslim) tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Setiap kali dia memanjatkan doa kebaikan untuk saudaranya, dia atas kepalanya ada seorang malaikat yang berkata, "Amin. Semoga engkau juga beroleh perkara yang sama".   (Hadis riwayat Muslim)

Nabi SAW melarang umat islam daripada mendoakan keburukan kepada diri, anak-anak dan harta benda, kerana dikhuatiri doa tersebut bertepatan dengan waktu dimana doa dikabulkan. Jika berlakunya sedemikian, maka permintaan tersebut akan dikabulkan. Hadis yang menegaskan perkara ini diriwayatkan Muslim. Daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Rasullullah SAW bersabda (maksudnya):

Janganlah kamu mendoakan yang tidak baik untuk diri kamu, anak-anak kamu, dan harta kamu kerana boleh jadi doa kamu itu bertepatan dengan waktu yang mana waktu itu doa dikabulkan sehingga apa yang kamu mohonkan juga dikabulkan.   (Hadis riwayat Muslim)


Sebab itu ibu bapa seboleh-bolehnya jangan memanggil anak-anak dengan panggilan-panggilan yang tidak elok. Sekiranya anak-anak melakukan sesuatu yang tidak diingini, sebaiknya panggil anak-anak dengan kata-kata seperti "Anak bertuah", "Anak soleh/solehah, mari sini...", dan sebagainya.

Begitu juga halnya dengan diri kita sendiri. Jangan sekali-kali suka mencerca diri dengan menyebutkan perkataan-perkataan seperti, "Celaka. Kalau aku tau aku takkan ....." atau perkataan seumpamanya. Kalaulah kita berkata sedemikian diwaktu mustajabnya doa, maka kecelakaan akan menimpa diri kita.

Begitu juga halnya dengan harta kita. Seringkali kita dengar perkataan-perkataan seperti "Tak guna punya kereta....", "Lembap punya PC...", "Bodoh punya handset..." dan sebagainya. Akibat daripada tidak sabar dan menahan diri daripada mengucapkan perkataan-perkataan sedemikian, maka kita mungkin terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk penjagaan harta benda kita. Walaupun benar harta kita bermasalah, kawal lah diri daripada mendoakan keburukan kepada harta kita.

Akhir kata, rajin-rajinlah berdoa dan bersabarlah kerana setiap doa itu sebenarnya suatu aset yang bernilai untuk kita di akhirat kelak. Oh ya, doakanlah saya agar dapat terus menulis dan menyumbangkan ilmu yang bermanfaat. Doakanlah juga agar semua umat islam menjadi umat yang bersatu dan kembali kepada cara hidup islam yang sebenar.

Selamat berdoa...

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

2 comments:

Mohon share ya..

Subhanallah.... Terima kasih atas Tausiyahnya...

BANDUNG Paris van Java With Love: CETAK BUKU YASIN

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats