Saban hari, televisyen di negara kita memaparkan pelbagai jenis cerita. Terdapat drama dan filem tempatan, drama dan filem dari Hollywood, Bollywood, Korea, Jepun, Taiwan, China, Filipina, Indonesia dan sebagainya. Pendek kata, macam-macam ada ! Tidak cukup dengan itu, kewujudan internet juga memudahkan sebahagian daripada kita untuk memuat turun (download) cerita-cerita ini terus ke dalam komputer bagi tontonan di masa lapang (atau bagi sesetengahnya, untuk tontonan sepanjang masa). Tidak lupa juga kepada peranan yang dimainkan oleh kedai-kedai penjual CD/DVD/Blue-ray sama ada secara haram atau berlesen yang turut menyumbang kepada akses terhadap cerita-cerita tersebut.
Cerita-cerita drama dan filem lazimnya ditontong bersama atau dikongsikan bersama. Mungkin ada cerita-cerita 'tertentu' yang hanya ditonton secara seorang diri, atau dengan rakan-rakan terdekat. Persoalannya, sebagai seorang islam, adakah kita dibolehkan untuk menonton cerita? Persoalan ini akan saya kupaskan dalam konteks semasa agar kandungannya relevan dengan masyarakat islam hari ini.
Pertamanya, sebagai seorang islam, kita perlu pastikan cerita yang kita tonton itu halal. Kenapa?.. kerana orang islam tertakhluk kepada hukum Allah. Allah menegah kita daripada melakukan perkara-perkara yang haram. Perkara haram akan dibalas dengan dosa dan tempat orang-orang yang berdosa di akhirat kelak adalah di Neraka !
Adalah amat tidak wajar jika kita menyanggah peraturan-peraturan yang telah Allah tetapkan kerana Dialah yang menjadikan kita dan memberi rezeki serta segala nikmat-nikmat yang lain, sepanjang hari, seumur hidup tanpa sebarang bayaran. Jika orang berbudi kepada kita, kita akan rasa terhutang budi dan cuba membalasnya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, sepatutnya kita sebagai makhluk ciptaan Allah 'membalas budi' dengan mengikut apa yang disuruh Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Berbalik kepada persoalan tadi, untuk menilai sama ada sesuatu cerita itu 'halal' ditonton atau tidak, perkara utama yang perlu dilihat adalah dari segi kandungan cerita tersebut. Realitinya, boleh dikatakan hampir semua cerita yang berada di pasaran sekarang 'tidak halal' kerana terdapat unsur-unsur yang bercanggah dengan islam. Hampir semua cerita yang ada sekarang akan memaparkan kisah cinta yang mana didalamnya terdapat adegan dimana pelakon mendedahkan aurat, berpelukan dan mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan ajaran islam (seperti bercouple, pergaulan bebas, homoseks, dan sebagainya).
Islam melarang cerita-cerita yang mendedahkan aurat kerana Haram hukumnya seseorang melihat aurat seseorang yang lain (kecuali dalam kes-kes yang dibenarkan syarak, contohnya suami isteri). Jika melihat aurat pun sudah haram, bayangkan jika kita menonton adegan-adegan 'lain' di dalam cerita tersebut.
Namun demikian, terdapat trend baru di dalam drama tempatan sekarang yang kononnya memaparkan cara hidup yang bercorak islamik. Pelakon lelakinya bersongkok/berkopiah/berserban manakala pelakon wanitanya bertudung. Apa yang menyedihkan adalah, cerita-cerita sebegini masih menyelitkan tema yang lama iaitu dengan mengekalkan adegan-adegan yang tidak sesuai seperti adegan bercinta (contohnya, hero dan heroin jalan bersama-sama, berdua-duaan, makan bersama, berborak kosong dan sebagainya), pergaulan bebas (contohnya, lelaki dan perempuan bersama-sama berkumpul (rapat-rapat pulak tu) tanpa sebab yang dibenarkan seperti untuk bernyanyi, bermain gitar, menari, dan sebagainya) serta banyak lagi yang rasanya tidak perlu saya huraikan satu-persatu.
Mungkin ada yang akan berkata, "Kalau begitu, tidak ada ceritalah yang boleh ditonton !". Jawapan saya, kalau tiada cerita yang halal ditonton maka memang tiada ceritalah yang boleh ditonton.
Barangkali cerita yang boleh ditonton pada zaman ini adalah cerita kartun atau animasi. Namun demikian, jika cerita kartun atau animasi itu mula memaparkan tema yang bertentangan dengan hukum syarak, maka cerita-cerita sebegitu juga haram ditonton (seperti sesetengah cerita Anime yang memaparkan bentuk tubuh wanita yang begitu detail dan kadangkala bersifat lucah).
Islam mengambil langkah mencegah lebih baik daripada mengubati. Tidak dinafikan, memang seronok menonton cerita namun sebagai seorang islam, kita perlu bijak memilih cerita yang boleh ditonton kerana gagal memilih cerita yang baik bermaksud, kita akan berterusan mendapat dosa sepanjang tempoh kita menonton cerita tersebut. Cuba tanya diri, bolehkan kita berterusan satu jam melakukan amal ibadat ? Agak sukar bagi kita untuk solat selama satu jam secara berterusan, atau membaca Al-Quran selama satu jam secara berterusan, namun sangat mudah untuk kita melakukan dosa selama satu jam secara berterusan (atau mungkin lebih) dengan hanya menonton cerita-cerita yang haram dari segi syarak.
Secara logiknya, kalau kita berterusan menonton cerita-cerita yang haram setiap hari melebihi masa yang diperuntukkan untuk melakukan amal ibadat, maka dosa-dosa kita akan lebih banyak daripada pahala amalan kita, walaupun amalan kita itu sempurna (seperti solat yang khusyuk, membaca Al-Quran dengan tajwid yang perfect, dan seumpamanya). Dikhuatiri, ajal datang menemui kita disaat kita tidak sempat memohon ampun terhadap dosa-dosa kita dengan Allah SWT, maka jadilah kita tergolong dikalangan mereka yang menghuni neraka !
Hanya kerana mahukan keseronokan dunia yang sekejap, maka kita ditempatkan di neraka buat selamanya. Sungguh tidak berbaloi bukan. Jadi, berhati-hatilah di dalam memilih cerita untuk ditonton. Pilihan yang baik mungkin menyelamatkan kita daripada azab Allah SWT.
Jadi, cerita apakah yang hendak anda tonton selepas ini?
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
3 comments:
Sgt setuju.. Allahuakbar.
Saya pun selalu tgk kdrama,,tapi tulah saya nak taubat dan jauhkan diri dari cerita² yang banyak dedahkan aurat...lps ni saya tgk doraemon dgn chibi maruko chan jela (*˘︶˘*).。*♡
Moga terus beristiqamah
Post a Comment