My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Anda seorang yang baik, tidak pernah melakukan dosa-dosa besar, tidak pernah tinggal solat, rajin bersedekah, selalu bangun malam untuk solat sunat. Anda rasa anda dah cukup baik, namun jangan terkejut jika semua amalan yang anda buat tidak dikurniakan pahala oleh Allah SWT. Lebih buruk lagi, anda mungkin dihumban Allah ke dalam api neraka kerana amalan 'baik' yang anda lakukan.

Bercakap tentang amalan, semalam saya ada membicarakan pasal suatu hadis yang menfokuskan kepada niat. Hari ini, ingin saya kongikan suatu lagi hadis dengan tema yang sama. Hadis ini agak panjang namun sangat mudah difahami akan isi kandungannya. Hadis ini menceritakan tentang betapa ruginya manusia yang berbuat baik namun dek kerana niat yang tidak betul, maka mereka dihumban Allah SWT ke dalam neraka. Moga-moga kita tidak tergolong di dalam golongan tersebut.

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

Sesungguhnya golongan manusia yang pertama akan diadili pada hari Kiamat kelak ialah:

Pertama, orang yang mati shahid secara zahirnya. Orang tersebut dibicarakan lalu diperlihatkan kepadanya kenikatan yang bakal diterimanya dan dia pun melihatnya. Akan tetapi, lalu dia ditanya, "Apa yang telah engkau lakukan?". Dia menjawab, "Aku telah berperang keranaMu sehingga terbunuh sebagai syahid". Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau berdusta. Yang sebenarnya engkau berperang dengan niat supaya engkau disebut sebagai pahlawan dan engkau telah pun mendapatkannya". Seterusnya Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diheret pada mukanya sehingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka.

Kedua, orang yang mempelajari ilmu Islam dan mengajarkannya kepada orang lain dan selalu membaca al-Quran. Orang ini pun lalu dibicarakan, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang akan diterimanya dan dia pun melihatnya. Akan tetapi, lalu dia ditanya, "Apa yang telah engkau lakukan?". Dia enjawab, "Aku telah mempelajari ilmu islam dan mengajarkannya kepada orang lain serta selalu membaca al-Quran keranaMu". Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau berdusta. Yang sebenarnya engkau mempelajarinya supaya engkau dikatakan sebagai orang alim dan selalu membaca al-Quran supaya engkau disebut sebagai qari, dan engkau telahpun mendapatkan semua itu". Lalu Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diheret pada mukanya sehingga akhirnya dia dicampakkan ke dalam neraka.

Ketiga, orang yang diberi kekayaan melimpah ruah oleh Allah, yang digunakannya untuk selalu bersedekah. Orang inipun lalu dibicarakan, lalu diperlihatkan kepadanya kenikmatan yang bakal diterimanya dan dia pun melihatnya. Akan tetapi, lalu dia ditanya, "Apa yang telah engkau lakukan dengan hartamu?". Dia menjawab, "Tiada satu kesempatan pun yang didalamnya Engkau suka agar seseorang mengeluarkan sedekah padanya, melainkan aku bersedekah didalamnya keranaMu". Allah berfiran yang bermaksud, "Engkau berdusta. Yang sebenarnya, engkau mengeluarkan sedekah tersebut dengan niat agar engkau dikatakan sebagai seorang yang dermawan dan engkau telah pun mendapatkan gelaran itu". Seterusnya Allah memerintahkan (kepada malaikat) agar orang tersebut diheret pada mukanya sehingga dia dihumbankan kedalam neraka. (Riwayat Muslim)

Alangkah ruginya mereka yang tidak pentingkan keikhlasan dalam melakukan sesuatu amal ibadat. Semua amalan yang dilakukannya ditolak Allah tanpa diberi peluang kedua. Sebanyak manapun amalan yang kita lakukan, kunci kepada penerimaanya di sisi Allah adalah keikhlasan. Tiada ikhlas, tiada pahala.


Di dalam kesibukan kita melakukan amal ibadat, kadang-kadang kita lupa soal niat dan keikhlasan. Kita sibuk dalam membangkitkan hal-hal yang remeh. Kita rasa yang amalan yang kita lakukan adalah ikhlas dan terbaik. Namun, kadangkala kita tidak sedar bahawa ada unsur-unsur tidak ikhlas di dalam amal ibadat kita.

"Kenapa dia dapat award tu sedangkan aku yang bersusah payah untuk syarikat". "Kita dah tolong, bukan nak ucap terima kasih, senyum pun tidak". "Buat apa aku lakukan semua tu, bukan dapat duit pun". Dialog-dialog seumpama ini perlu dielakkan kerana ini merupakan antara petanda bahawa tiada keikhlasan dalam perbuatan kita. Kita khuatir, amalan yang kita lakukan dengan bersusah payah, sedikitpun tidak dipandang oleh Allah SWT. Biar tiada manusia yang menghargai atau berterima kasih kepada kita terhadap apa sahaja yang kita lakukan. Ketahuilah bahawa pujian dan sanjungan manusia terlalu sedikit nilainya.

Apa yang penting ialah ganjaran pahala oleh Allah SWT kerana ini yang akan menyelamatkan kita di hari yang tiada pertolongan kelak. Ikhlaskan diri, betulkan niat. Semoga amalan kita diterima Allah SWT.

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats