My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Ahh.. Facebook. Penghubung teman lama. Penjalin hubungan baru. Suatu aplikasi web yang menjadi sebutan ramai. Bagi mereka yang mempunyai akaun Facebook, tidak lengkap rasanya sesuatu hari tanpa login sekurang-kurangnya sekali ke dalam Facebook. Pelbagai maklumat boleh dikongsikan sama ada dengan rakan, kawan kepada rakan ataupun dengan masyarakat umum.

Pelbagai jenis maklumat boleh dikongsikan melalui Facebook. Gambar, video, teks mahupun link ke website lain boleh dikongsikan dengan rakan-rakan dengan cukup mudah. Seseorang juga boleh mewujudkan 'fan site' atau 'hate site' untuk pelbagai tujuan (ataupun tanpa sebarang tujuan). Kesemua ini memang menyeronokkan tapi awas, terdapat bahaya yang menanti bagi mereka yang tidak berhati-hati.

Perkongsian maklumat yang bebas, jika tidak dikawal boleh mendatangkan bahaya. Facebook boleh menjadi (dan dalam kebanyakan kes, sudahpun menjadi) gedung dosa bagi para pengunjungnya.

Bagi semua pengguna Facebook, berhati-hati di dalam berkongsi maklumat di dalam Facebook. Jika maklumat yang anda kongsikan bersifat maksiat, seperti meletakkan gambar lelaki atau perempuan yang tidak menutup aurat, gambar-gambar yang tidak senonoh, link ke video yang mengandungi unsur-unsur maksiat, lucah, tidak tutup aurat, atau sebarang maklumat yang boleh mendatangkan dosa kepada sesiapa yang melihatnya, maka anda sebenarnya telahpun membeli saham ke neraka dengan percuma.

Saham ke neraka? Ya, dengan berbuat demikian, setiap rakan atau orang umum yang melihat kandungan tersebut akan mendapat dosa (yang berpunca daripada anda), dan dosa tersebut juga akan diberikan kepada anda dengan tidak dikurangkan dosa tersebut walau sedikitpun. Ini kerana anda adalah penyebab orang lain melakukan dosa.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

Sesiapa yang menyeru manusia kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala sama dengan orang yang melakukannya tanpa dikurangkan walau sedikitpun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru manusia kepada kesesatan maka dia juga turut berdosa sebagaimana dosa orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan dosa mereka walau sedikit pun.  (Hadis riwayat Muslim)

Dosa juga ibarat saham. Jika anda mengajar atau menjadi punca orang lain melakukan dosa, maka selagi orang tersebut melakukan dosa, maka anda akan turut mendapat 'bahagian' anda. Tambah malang, jika orang yang mengamalkan dosa tersebut menyebarkannya kepada orang lain, maka anda turut akan mendapat 'sahamnya' walaupun bukan anda sendiri yang menyebarkannya. Anda akan terus mendapat dosa selagi mana kandungan yang anda sebarkan dilihat dan disebarkan orang. Alangkah banyaknya dosa.


Walaupun anda tidak meletakkan sebarang kandungan yang melanggar hukum syarak, anda juga perlu berhati-hati kerana anda masih terdedah kepada bahaya. Ini kerana anda mungkin akan melihat gambar-gambar rakan-rakan anda yang tidak menutup aurat. Melihat gambar/kandungan sedemikian tanpa sebab-sebab yang dibolehkan syarak sudah cukup untuk anda mendapatkan dosa.

Jadi apa yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan bahaya Facebook ini? Berikut telah saya senaraikan checklist yang boleh kita ikuti sebagai panduan bersama.


Garis panduan Facebook

1. Jika meletakkan kandungan (mesej, link, video, gambar, dsb) pada Facebook, pastikan kandungan tersebut menepati syarak.
  • menutup aurat
  • tidak melakukan aksi-aksi menggoda atau menghairahkan
  • tidak berunsurkan fitnah, memburukkan orang atau pihak lain
  • tidak meletakkan kandungan yang anda tidak boleh pastikan akan kesahihannya
2. Jika anda di Tag kepada kandungan sedemikian (seperti di atas), buang Tag tersebut kerana dengan mengekalkannya, kandungan tersebut boleh dilihat melalui akaun anda.

3. Jangan melihat galeri gambar yang anda ketahui mengandungi gambar-gambar yang bertentangan dengan syarak. Jika terlihat, hentikan segera dan buka kandungan lain.

4. Elakkan membazir masa di dalam Facebook hingga melengahkan solat atau perkara-perkara wajib yang lain.

5. Jangan sertai sebarang group yang melibatkan perkara-perkara berikut:
  • Fan group artis-artis, atau filem yang mengandungi unsur maksiat. (contoh: dedahkan aurat, adegan tak senonoh dan sebagainya)
  • Kumpulan yang menyebarkan perkara-perkata berunsur fitnah, atau memburukkan orang lain
  • Sebarang group lain yang didalamnya terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak
6. Jangan menggunakan aplikasi (games, dsb) yang mengandungi unsur lucah, tidak senonoh dan yang seumpama dengannya. Sesetengah aplikasi biasanya akan menghantar gambar/mesej pada Wall anda yang kemudiannya akan dilihat orang lain.


Di atas adalah beberapa panduan yang boleh anda gunakan. Sebaiknya, anda gunakan Facebook sebagai medan untuk sebarkan nasihat, tegur-menegur dan memupuk rasa kasih sayang dan harmoni sesama kawan-kawan melalui cara yang dibenarkan Islam. Elakkan diri anda dari melakukan dosa. Kalau boleh, minimakan penggunaan Facebook. Islam tidak pernah melarang kita bersosial. Sebaliknya, Islam menyediakan beberapa garis panduan di dalam bersosial bagi memastikan kita agar tidak tergelincir ke jalan yang sesat.

P/S: Jika kita boleh meluangkan masa selama 1 - 2 jam menggunakan Facebook setiap hari, apa salahnya luangkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran atau melakukan amal ibadat lain.

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

1 comments:

Assalam, bagaimana untuk subscribe page ini Tuan atau link ke facebook. Suka dan minat baca ingo info bermanafaat di page ini. Terima kasih.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats