Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, "Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):
Sesungguhnya Allah tidak akan melihat kepada tubuh badan kamu dan tidak pula kepada rupa bentuk kamu. Akan tetapi, Dia akan melihat kepada keikhlasan hati kamu." (Riwayat Muslim)
Hadis di atas merupakan salah satu hadis popular dan sangat diketahui umum. Malangnya, hadis di atas jugalah merupakan salah suatu hadis yang sering disalahtafsirkan golongan tertentu bagi membenarkan perbuatan dosa mereka.
"Walaupun saya tidak tutup aurat, saya tidak buat dosa pada orang. Saya tak nak hipokrit. Saya rasa selesa macam ini. Apa yang penting bukan luaran, tetapi dalaman kerana Allah tidak pandang luaran". Dialog seperti ini muncul kerana kurangnya kefahaman seseorang terhadap hadis di atas.
Hadis diatas sebenarnya merujuk kepada penilaian Allah SWT terhadap penerimaan amalan seseorang. Pahala yang akan diterima seseorang bergantung kepada niatnya ketika melakukan perbuatan tersebut. Begitu jugalah halnya dengan perbuatan dosa.
Sebagai contoh,jika seseorang terpaksa makan daging babi kerana ketiadaan makanan lain, maka perbuatannya tersebut dibolehkan. Namun, ini tertakluk kepada niatnya ketika makan daging tersebut iaitu, makan untuk terus hidup dan makan dalam kuantiti yang kecil (sekadar cukup untuk hidup) dan bukannya untuk mengenyangkan perut.
Sebaliknya, perbuatan dosa yang dilakukan seseorang dengan sengaja, kononnya kerana tidak mahu 'hipokrit', maka perbuatannya tersebut akan diberi dosa yang setimpal. Malang sungguh mereka yang berfikiran bahawa boleh meninggalkan sesuatu tuntutan agama semata-mata kerana tidak mahu bersikap hipokrit.
Allah tidak mensyaratkan kita supaya melakukan sesuatu dengan rela hati (tanpa hipokrit). Setiap suruhan yang diperintahkan Allah wajib dilaksanakan sama ada kita mahu atau tidak. Ini merupakan tanda kepatuhan kita kepada perintah Allah SWT.
Jika Allah mensyaratkan supaya setiap amalan dilakukan dengan rela hati (tanpa hipokrit), maka tidak ada orang yang mahu melakukan kebaikan kerana kejahatan jauh lebih menyeronokkan berbanding kebaikan.
Janganlah kita tertipu dengan hasutan syaitan yang menyebabkan kita nampak baik akan perbuatan kita yang tidak melakukan sesuatu kerana tidak mahu hipokrit. Ingat, semua perintah Allah SWT wajib dipatuhi dan segala larangn-Nya mesti ditinggalkan. Semuanya perlu dilaksanakan tidak kira sama ada ia bertepatan dengan kemahuan kita ataupun tidak.
Dunia ini hanyalah tempat menyediakan bekal untuk ke akhirat. Kumpullah amalan sebanyak mungkin supaya kita akan senang di kemudian hari Insya-Allah...
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
0 comments:
Post a Comment