My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Bagi kebanyakan universiti awam di Malaysia, minggu ini merupakan antara minggu paling sibuk kerana minggu ini merupakan minggu kemasukan pelajar-pelajar baru. Pelajar-pelajar baru ini biasanya akan melangkah masuk ke IPT dengan penuh bersemangat.

Setiap pelajar hadir membawa harapan besar untuk menamatkan pengajian mereka dengan jayanya. Untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya, mereka perlu tahu adab-adab atau cara untuk menjadi pelajar yang baik.

Berikut adalah suatu senarai semak tentang perkara-perkara yang patut diamalkan selagi seorang itu bergelar pelajar:

1. Pastikan niat masuk ke IPT atau belajar adalah untuk menjadi pelajar yang baik, bukannya untuk mencari kawan/pasangan/boyfriend/girlfriend atau sebarang tujuan lain. Setiap amalan/perbuatan bermula dengan niat. Jika baik/tepat niatnya maka Insya-Allah baik/tepatlah arah tujunya.

2. Jaga hubungan baik dengan Allah dan selalulah berdoa. Setiap apa yang berlaku itu adalah dengan keizinan dan kekuasaan Allah, termasuklah kejayaan dan semangat untuk belajar. Kalaupun seseorang itu berjaya tanpa hubungan baik dengan Allah, maka kejayaan itu mungkin kejayaan yang tiada keberkatannya, kejayaan yang memusnahkan.

3. Datang awal ke kelas/makmal/dewan kuliah, jangan lewat. Datang awal menyediakan minda untuk lebih mudah fokus kepada apa yang diajarkan.

4. Hormati pensyarah, walaupun anda rasa anda lebih bijak daripada pensyarah anda.

5. Duduk di hadapan, terutamanya bagi lelaki. Duduk sehampir mungkin dengan pensyarah kerana ini memudahkan anda untuk fokus. Mereka yang suka duduk di belakang akan mudah diganggu oleh pergerakan kawan-kawan mereka yang berada di hadapan sekaligus, menghilangkan daya tumpuan kepada pensyarah. Selain itu, duduk di hadapan juga memudahkan anda untuk bertanya kepada pensyarah jika anda ada sebarang kemusykilan.

6. Diawal semester, cuba dapatkan perancangan kuliah, atau senarai tajuk/bab yang akan diajar bagi subjek tersebut. Baca perancangan kuliah tersebut agar anda jelas tentang apa yang bakal dipelajari.

7. Jangan malu untuk bertanya. Bak kata pepatah, "Malu bertanya sesat jalan". Begitulah juga halnya  dengan menuntut ilmu. Malu bertanya sebenarnya musuh utama pelajar. Pertanyaan yang ringkas mungkin akan menjimatkan 1-2 jam masa anda untuk mengulangkaji.

8. Cuba untuk fahami apa yang di ajar di dalam kelas, ketika sesi kuliah sedang berlangsung. Memahami sesuatu yang diajar ketika sesi kuliah menjimatkan masa anda kerana anda tidak perlu meluangkan lebih masa untuk belajar perkara sama. Kalau apa yang diajar terlalu sukar untuk difahami, sebaiknya cuba dapatkan intipati atau 'general idea' tentang apa yang di ajarkan.

9. Jangan bertangguh untuk menyempurnakan sebarang tugasan yang diberi. Sikap suka bertangguh akan menyukarkan pelajar kerana tugasan lazinya bertambah apabila semester sampai ke penghujungnya. Mengumpulkan tugasan untuk dibuat pada saat-saat akhir akan menyebabkan tugasan tersebut dilakukan dengan 'cukup makan' atau ala kadar sahaja sekaligus, menjejaskan markah keseluruhan pelajar tersebut.

10. Belajar dari kesilapan. Tiada manusia yang tidak pernah buat kesilapan. Jika anda tidak mendapat markah yang memuaskan, cari punca kepada kesilapan tersebut dan atasinya. Antara kesilapan utama pelajar apabila mendapat keputusan yang teruk di dalam kuiz/ujian adalah untuk terus 'ignore' atau abaikan subjek tersebut, kononya, terlalu susah untuk dirinya dan lebih gemar untuk fokus kepada subjek-subjek yang lebih mudah. Ini suatu pendekatan yang salah! Sebaiknya, lebihkan masa untuk mengulangkaji subjek-subjek yang sukar berbanding subjek yang lebih mudah.



Sebenarnya, terlalu banyak petua untuk diterangkan dan disenaraikan. Cukuplah 10 tips untuk kali ini. Diharapkan agar tips-tips di atas dapat sedikit sebanyak membantu didalam usaha untuk menjadi pelajar yang cemerlang.
 
Selamat belajar !

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats