Alhamdulillah... rakyat Malaysia sekarang hidup dalam keadaan aman. Jika kita lihat jiran kita di utara, suasananya sudah mirip kepada perang saudara. Kejadian pertempuran antara pihak tentera dan puak penyokong kumpulan baju merah yang berlaku di Bangkok sudah meragut banyak nyawa. Kita di Malaysia perlu mengambil iktibar akan kejadian tersebut agar kejadian seumpama itu tidak berlaku di negara ini kerana kesannya amat buruk.
Walaupun negara kita sekarang nampaknya aman dari segi perang fizikal, sebenarnya kita sekarang sedang diserang hebat oleh anasir-anasir yang boleh meruntuhkan tamadun negara. Serangan yang berlaku bukanlah melalui bom dan peluru. Yang dikorbankan bukanlah nyawa. Namun, perang ini sebenarnya lebih berbahaya daripada perang fizikal.
Perang yang saya maksudkan ialah perang yang dilancarkan kepada pemikiran umat islam di seluruh dunia. Serangan yang dilakukan adalah melalui pelbagai jenis media. TV, radio, Internet, surat khabar, majalah, dan telefon merupakan antara media yang digunakan. Penggunaan media seperti ini sangat berkesan kerana 'serangan' yang dilakukan sampai kepada pelbagai golongan masyarakat tak kira di mana jua mereka berada.
Sedar atau tidak, kita sekarang sedang di sajikan dengan pelbagai jenis hiburan yang melampau. Lihat sahaja apa yang dipaparkan di dalam kaca televisyen kita hari ini, nyanyian dan tarian berleluasa. Pergaulan bebas, percampuran antara lelaki dan perempuan, berpakaian tidak menutup aurat, budaya 'dating' merupakan antara yang diaparkan di kaca televisyen setiap hari. Tidak cukup dengan rancangan TV, iklan pun memaparkan gelagat-gelagat yang tidak senonoh. Teringat saya kepada suatu iklan syampu rambut di kaca TV dimana terdapat lelaki dan wanita yang berpakaian serba tidak cukup kain menari-nari dengan lenggang lenggok yang menggoda sambil diiringi musik. Kenapalah iklan sedemikian teruk boleh ditayangkan?
Sebagai umat islam, kita harus ada rasa benci kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran islam. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. dia berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya)":
Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila tidak mampu, hendaklah dia merubah hal itu dengan lisannya. Apabila tidak mampu lagi, hendaknya dia ingkari dengan hatinya dan inilah selemah-lemah iman. (Hadis riwayat Muslim)
Perlu diingat, jika kita melihat sebarang kemungkaran yang berlaku termasuk apa sahaja melalui sebarang jenis media, maka kita mesti sekurang-kurangnya membenci akan perkara tersebut kalau kita tidak mampu mengubahnya. Jika kita tidak berbuat demikian (atau lalai berbuat demikian), maka bahayalah tahap iman kita. Moga Allah menjauhkan kita daripada golongan yang sedemikian.
Jika kita lihat dari segi psikologi, apabila sesuatu perkara itu berlaku di hadapan mata kita setiap hari (berulang kali), maka perkara tersebut secara tidak langsung akan diterima oleh minda kita tanpa kita sedari. Sebagai contoh, iklan yang kita tonton setiap hari sebenarnya secara tidak langsung telah mewujudkan keyakinan kita terhadap produk yang diiklankan (berbanding dengan produk yang tidak diiklankan). Sebab itulah kalau kita ke pasaraya dan ingin membuat pilihan untuk membeli sesuatu, biasanya produk yang popular akan kita pilih dan populariti ini dipengaruhi oleh iklan yang kita tonton.
Begitulah juga halnya dengan maksiat yang dipaparkan di dalam pelbagai jenis media. Jika kita tidak ada rasa benci di dalam hati apabila melihat perkara-perkara sebegini, kita akan secara tidak langsung akan menerima perkara tersebut. Lebih buruk lagi, kanak-kanak yang menonton perkara sedemikian juga akan turut beranggapan bahawa perkara yang ditontonnya adalah suatu kebiasaan masyarakat. Sebab itulah kita perlu membenci perkara-perkara mungkar bagi memelihara iman kita. Hebatnya Rasulullah SAW di dalam menyedari akan hal ini lebih 1400 tahun yang lalu.
Oleh itu, saya menyeru kepada semua agar bencilah perkara-perkara mungkar demi iman kita. Tanpa iman, kita tidak mungkin masuk syurga. Kita sebenarnya sedang berperang dengan maksiat yang berleluasa. Jangan biarkan diri kita terbiasa dengan maksiat yang berlaku di sekeliling kita. Cegahlah maksiat seboleh mungkin. Belajarlah untuk membenci maksiat. Moga dengan usaha kita untuk menjaga iman, Allah permudahkan kita kesyurganya.
Say NO to Maksiat !
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
1 comments:
Salam Syed Zai,Tahniah!
Blog yang sebegini yang perlu diketengahkan kepada generasi baru. Blog menjadi platform meluahkan idea dan buah fikiran, memberi kritikan membina terhadap isu tertentu. Malah ia dapat dikongsi dan disebarkan kepada warga cyber ke seluruh di pelusuk dunia. Kita perlu menyumbang dan mencetus minda ke arah kehidupan yang lebih positif. Percambahan idea amat diperlukan dan pemikiran perlu lebih kreatif dan tepat. Sumber kekuatan asas manusia seperti iman, ilmu dan ihsan menjadi tonggak pembudayaan ilmu masakini. Perjuangkan dan sumbangkan kepada kehidupan sejagat. Anggaplah ini sebagai satu peranan tambahan setiap individu yang cintakan kedamaian, kebenaran dan kebijaksanaan. Syabas, teruskan menulis.
Post a Comment