Rasanya dah lama saya tak berblog kerana kesibukan dan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan, namun Alhamdulillah hari ini saya diizinkan Allah untuk kembali berblog. Sedar tak sedar, kita sekarang telah berada pada tahun baru 1432 Hijrah.
Bercakap tentang tahun baru, teringat saya peristiwa yang berlaku semalam. Ketika sedang menuju ke masjid untuk solat Maghrib, terkejut saya melihat kenderaan penuh di sekitar masjid. Ruang pakir sekitar masjid penuh hingga saya terpaksa meletakkan kenderaan di luar masjid, sedikit jauh dari masjid dan terpaksa berjalan kaki sedikit. Tak apa, apa salahnya bersusah sedikit untuk menjalankan perintah Allah.
Sedang saya berjalan masuk, sempat saya berbual dengan seorang yang kerap menunaikan solat berjemaah di masjid tersebut. "Ramai orang hari ini, ada apa kat masjid?". "Biasalah, nak sambut tahun baru. Nak baca doa awal tahun/akhir tahun.", jawabnya sambil tersenyum. Saya turut tersenyum. Alangkah baiknya jika jemaah masjid sentiasa penuh sebegini dari solat subuh hinggalah isyak.
Orang islam hari ini nampaknya keliru dalam keutamaan beribadat. Doa awal tahun dan akhir tahun yang dikejar sebenarnya bukanlah dari amalan yang nabi anjurkan kerana pada zaman nabi, kalendar islam masih belum wujud !
Jangan salah faham, tidak salah untuk berpusu-pusu ke masjid dan membaca doa akhir tahun/awal tahun kerana berdoa tidak salah. Sekurang-kurangnya, mereka ini terfikir untuk menyambut tahun baru islam dengan ke masjid. Cuma, alangkah baiknya jikalau umat islam berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan ibadat wajib seperti solat lima waktu yang telah disyariatkan dan dititik beratkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti mana mereka berpusu-pusu mengejar doa akhir tahun/awal tahun yang tidakpun wajib diamalkan. Kenapa perkara sebegini ini boleh berlaku?
Secara psikologinya, manusia lebih cenderung untuk melakukan perkara yang lebih mudah jika terdapat pilihan. Jika diberi anggur berbiji dan anggur yang tidak berbiji (seedless), seseorang akan cenderung untuk pilih yang tidak berbiji. Sedar atau tidak, pemilihan ini sebenarnya ada dipengaruhi nafsu yang sememangnya sukakan perkara yang mudah dan lazat.
Jika dibandingkan amalan doa akhir tahun/awal tahun yang diamalkan setahun sekali, dengan solat lima waktu yang dilakukan setahun 1,825 kali (365 hari X 5 waktu sehari), tentunya lebih mudah untuk mengamalkan doa akhir tahun/awal tahun. Namun begitu, dalam Islam, sifirnya tidak begitu.
Di dalam Islam, penganutnya dituntut supaya melakukan apa yang Allah suruh, dan meninggalkan apa yang dilarangNya berpandukan kitab Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Di dalam proses untuk mengikuti sifir ini, kita terpaksa berhadapan dengan godaan nafsu dan pujukan syaitan.
Semua ini telah diketahui umum namun ramai yang secara tidak sedar sebenarnya telah melakukan ibadat mengikut hawa nafsu yakni dengan memilih perkara yang mudah-mudah dan meninggalkan perkara yang sukar. Sepatutnya, umat islam harus melakukan ibadat seperti mana yang di syariatkan. Ini memerlukan kepada kita untuk menentang nafsu dan pujukan syaitan yang sememangnya mendorong kita kearah kejahatan.
Benarlah kata Nabi, jihad menentang hawa nafsu merupakan suatu jihad yang besar. Umat islam harus sedar dari budaya memilih dalam melakukan amal ibadat. Allah pernah berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana." [Al-Quran, Surah al-Baqarah:208-209]
Takutlah pada azab Allah. Janganlah menurut hawa nafsu ketika beribadat kerana ditakuti, dengan melakukan demikian, Allah akan menjauhkan kita dari petunjuk Allah. Tanpa petunjuk Allah, tiada siapa yang berupaya memberi petunjuk kepada kita ke jalan yang lurus.
"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?" (Al-Quran, Surah al-Jaatsiyah: 23)Moga Allah memberi kita kekuatan untuk menurut perintahNya dan melawan hawa nafsu.
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
0 comments:
Post a Comment