My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

Apabila disebut sahaja perkataan 'hiburan' pada masa kini, umum akan mengaitkannya dengan muzik, filem, artis, TV dan sebagainya. Definisi tersebut tidak salah. Memang benar muzik dan filem itu suatu jenis hiburan namun begitu, adakah itu sahaja bentuk hiburan yang ada di dunia ini? Secara tidak kita sedari, kita telah membataskan hiburan hanya kepada muzik, filem, TV dan yang seumpama dengannya atau dengan kata lain, bentuk-bentuk 'hiburan moden' yang dibawa dari negara barat yang kebanyakannya diterajui oleh orang-orang nasrani (kristian) dan yahudi. Kenapa ini boleh berlaku?

Jika dilihat senario dunia semasa, media sebenarnya sedang dikuasai oleh golongan yahudi dan nasrani. Dikuasai disini bermaksud, pengaruh siaran mereka lebih kuat dan meliputi pelbagai negara. Sebut sahaja rancangan 'American Idol', dan 'CSI', hampir seluruh dunia mengetahuinya dan pernah tengok akan rancangan tersebut.

Penguasaan media oleh negara-negara barat berkait rapat dengan sejarah. Zaman kolonial dahulu menyaksikan hampir seluruh dunia dikuasai oleh penjajah yang berbahasa Inggeris buat ratusan tahun. Penjajahan mereka bukan sahaja terhad kepada eksploitasi bahan-bahan mentah (contohnya: bijih timah), malah mereka turut menjajah minda dengan menerapkan bahasa mereka, budaya mereka dan cara hidup mereka kepada masyarakat setempat. Asimilasi budaya yang berlaku menyebabkan masyarakat setempat sudah mula menerima budaya dan cara hidup golongan penjajah. Ini adalah punca kenapa rancangan TV yang datang dari negara barat mudah diterima oleh masyarakat di seluruh dunia.

Tidak semua yang datang dari negara barat adalah buruk, namun kita juga tidak seharusnya terlalu liberal dalam menerima apa sahaja yang datang dari barat. Sebagai seorang islam, kita harus melihat sesuatu menerusi neraca islam, termasuklah dalam hal hiburan, bertepatan dengan sifat agama islam itu sendiri yang bersifat syumul, yakni merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Berbalik kepada isu asal, hiburan sebenarnya meliputi skop yang luas, yakni sebarang perkara yang menyeronokkan. Membaca dan mendalami ilmu boleh menjadi suatu bentuk hiburan. Beribadat boleh jadi suatu bentuk hiburan. Pendek kata, sebarang perkara boleh menjadi hiburan jika si pelakunya seronok melakukan aktiviti tersebut.

Menghadkan hiburan hanya kepada 'hiburan moden' (muzik, drama dan filem) adalah merugikan dan mungkin mengundang kemurkaan Allah. Umum mengetahui, terdapat banyak unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum-hukum islam di dalam hiburan moden . Secara tidak langsung, orang islam yang terlalu asyik dengan hiburan moden akan terdedah kepada kemurkaan Allah.

Mungkin ada yang akan berkata, "saya meminati lagu-lagu artis nasyid dan cerita-cerita yang bercorak islamik sahaja". Namun begitu, perlu kita ingat, jika terlalu asyik mendengar lagu dan menonton drama, banyak masa akan terluang. Kan lebih bagus kalau masa yang ada diluangkan dengan membaca Al-Quran dan memperbanyakkan amalan sunat. Dengar lagu dan menonton drama atau filem sahaja tidak akan menambahkan pahala !

Malanglah mereka yang hanya boleh berhibur dengan hiburan moden ini. Tiada manfaat yang diperoleh selain keseronokan yang bersifat sementara dan masa yang terluang dengan perkara-perkara yang sia-sia (jika dibandingkan dengan menuntut ilmu, membaca al-Quran dan ibadat-ibadat sunat yang lain). Ingatlah, masa yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah terhad.

Jika orang islam asyik leka berhibur, maka kita akan terus ketinggalan dan mundur. Realitinya, orang islam sekarang tidak sebanding dengan orang bukan islam di dalam pelbagai bidang, baik ekonomi, penguasaan ilmu, dan juga dakwah. Kemunduran orang islam adalah salah kita sendiri, terlalu asyik leka berhibur. Masing-masing asyik menanti orang lain untuk melakukan perubahan yang akhirnya mengakibatkan semua leka dan selesa dengan keadaan semasa.

Untuk mendahului mereka (orang-orang kafir) dalam pelbagai bidang, orang islam perlu bekerja dengan lebih keras daripada biasa, dengan mengorbankan masa berhibur dan mungkin tanpa sebarang ganjaran duniawi, dengan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti yang lebih bermanfaat kepada masyarakat. Jangan kita asyik menyalahkan usaha orang lain kalau kita sendiri tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat dan hanya mengharapkan sumbangan orang lain dalam menaikkan nama islam. Sedarlah wahai umat islam, kurangkanlah aktiviti-aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat (lagha).

Ketika negara dijajah dahulu, ada satu generasi yang bangkit menentang penjajahan. Generasi tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah generasi nenek moyang kita. Mereka memilih untuk hidup susah dengan melakukan penentangan, walhal kalau mereka menurut sahaja kata penjajah, mereka mungkin hidung senang lenang, tidak diancam bunuh, tidak perlu memikirkan soal pentadbiran dan pembangunan negara, dan sebagainya. Namun begitu, generasi tersebut memilih untuk berkorban, demi kesenangan anak cucu mereka kelak. Kita perlu sedar, mereka yang berkorban tersebut tidak mengecapi hasil pengorbanan mereka.

Begitu juga halnya dengan umat islam sekarang, kita perlu berkorban untuk menukar nasib umat islam sekarang. Jangan merungut pasal ganjaran duniawi kerana jihad mengubah nasib umat islam hanya layak diberi ganjaran oleh Allah SWT. Bersusah payahlah demi islam. Kurangkanlah hiburan yang lagha. Perbanyakkanlah aktiviti-aktivti yang menjurus kepada budaya ilmu.

Berubahlah wahai saudaraku, kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi?

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Al-Quran, al-Baqarah: 120)

p/s: Alangkah baiknya jika seseorang itu dapat menjadikan aktiviti yang bermanfaat seperti berjihad melawan hawa nafsu, atau menuntut ilmu sebagai suatu bentuk hiburan...
 

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats