My view of the world

Islam, Iman, Ihsan...

"Bilalah kawan kita nih nak tinggalkan perkara lagha? Asyik tengok filem dan dengar MP3 jer. Bukan dapat pahala pun, silap-silap bertambah lagi dosa tu.. Pahala tu dah cukup ke untuk masuk syurga sampai langsung tak hirau pasal amal ibadat?".
"Erm, hehehe.... tengoklah nanti ye. Insya-Allah bila dah terbuka pintu hati ni, saya tinggallah."

Bercakap tentang hati, teringat saya kepada surah Yaa-siin:

"Dan kami adakan dihadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat. Sama saja bagi mereka apakah kamu memberi peringatan kepada mereka atau kamu tidak memberi peringatan kepada mereka, mereka tidak akan beriman" [Al-Quran, Surah Yaa-siin(36), Ayat 9-10]

Ayat di atas menceritakan tentang tutupan hati yang dilaksanakan Allah kepada sesetengah golongan manusia yang telah ditentukan Allah untuk ke Neraka. Mereka yang telah ditutup hatinya oleh Allah SWT ini tidak lagi terkesan kepada ajakan ke arah kebaikan. Moga-moga kita dijauhkan daripada tergolong di dalam golongan yang disebutkan di dalam ayat di atas.

Ibn-Kathir dalam menjelaskan ayat di atas menyatakan bahawa golongan yang ditutup hati oleh Allah SWT adalah mereka yang tahu akan kebenaran ajaran Allah namun enggan beriman dan patuh kepadanya. Bagaimana Allah tahu bahawa seseorang telah mengetahui akan kebenaran? Allahlah yang menciptakan manusia dan dia mengetahui segala sesuatu, termasuklah apa yang berada jauh di sudut hati kita. Dan apabila golongan ini telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk dikunci hatinya, maka terserahlah pada Allah SWT. Jika hati tersebut terus terkunci, maka Nerakalah yang lebih layak baginya.

"Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat (ketetapan) Tuhanmu tidaklah akan beriman. Meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan hingga mereka menyaksikan azab yang pedih." [Al-Quran, Surah Yunus(10), ayat 96-97]

Moga kita dijauhkan daripada azab Neraka Allah yang sangat pedih.

Jika dilihat kepada masyarakat di sekeliling kita, ramai yang mengakui bahawa Islam itu benar, ajarannya benar, kehebatannya benar, namun masih enggan berpegang teguh kepada ajarannya.

"Takpe lah, enjoy la dulu bro. Dah pencen nanti buat la amal ibadat...". Berapa ramai yang asyik bertangguh dalam mengerjakan kebaikan dan alpa dalam dunia kemungkaran. Dibimbangi, kealpaan kita, keegoan dan kesombongan kita untuk patuh pada perintah tuhan kita, Allah akan mendekatkan diri kita kepada golongan yang dikunci mati hatinya oleh Allah.

Tatkala itu, sebarang dakwah dan ajakan tidak akan lagi terkesan kepada diri kita. Malah, mesej-mesej Islam dianggap pula sebagai suatu 'gangguan' terhadap kehidupan seharian. Tatkala itu, apabila hati kita ditutup oleh Allah daripada menerima hidayah, maka tunggulah azab Allah SWT.

Apabila Allah SWT telah menetapkan sesuatu, baik berupa kebaikan atau bencana, maka tiada yang berkuasa untuk mengubahnya melainkan Allah.

Oleh itu, berusahalah dengan sentiasa berterusan di dalam mendekatkan diri kepada Allah. Berdoalah moga kita dijauhkan daripada tergolong di dalam golongan di atas. Dan sentiasalah memperbetulkan diri agar kita sentiasa berada di jalan yang lurus, jalan orang-orang yang diberi nikmat oleh Allah SWT dan bukannya jalan orang-orang yang dimurkai Allah, ataupun jalan mereka yang sesat.
 

Sharing is caring, share this page with your friends: Share

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Followers

Site stats