Tersebutlah kisah pada suatu masa dahulu, terdapat seekor katak yang bersahabat baik dengan ikan-ikan yang berada di dalam sebatang sungai. Sungai tersebut terletak jauh di dalam hutan. Katak dan ikan telah berkawan baik sejak kecil lagi, yakni ketika katak tersebut masih lagi merupakan seekor berudu. Katak sangat dipercayai oleh komuniti ikan di dalam sungai tersebut. Dia seorang yang sangat jujur dan tidak pernah bercakap bohong. Sekian lama mereka tinggal di dalam sungai tersebut, tidak pernah berlaku sebarang ancaman atau bahaya. Mereka hidup dalam keadaan aman dan dilimpahi rezeki yang banyak.
Ketika katak menginjak dewasa, berlaku perubahan pada dirinya yang menyebabkan dia boleh hidup di dalam air dan juga di daratan. Semenjak boleh hidup di daratan, katak sering keluar dari sungai menuntuk ilmu dengan haiwan-haiwan lain di daratan. Banyak perkara yang dipelajarinya dan tatkala pulang ke dalam sungai, beliau akan menceritakannyan kepada rakan-rakan baiknya. Ada yang mempercayainya dan tidak kurang juga yang mentertawakannya.
Pada suatu hari ketika katak sedang naik ke daratan, dia terlihat sebuah kenderaan besar diberhentikan berhampiran sungai. Dari kenderaan tersebut, keluar beberapa orang manusia membawa beberapa buah kotak yang besar. Mereka menghidupkan ungun api, memasang alat pemanggang, dan mengisi pelbagai jenis umpan pada joran yang mereka bawa. Ada juga yang sedang membelek-belek pukat sabil menjahitnya.
"Ini bahaya nih, baik aku segera beritahu ikan", katanya sendirian lalu bergegas masuk semula ke dalam sungai dan memanggil sahabat baiknya. "Pergi kumpul semua ikan-ikan di sungai ini, aku ada suatu hal mustahak nak cakap". Rakan baiknya tanpa bercakap panjang, terus berenang dengan laju meninggalkannya. Dalam beberapa saat sahaja, datang pelbagai jenis ikan berkumpul menantikan pengumuman mustahak oleh katak, sahabat baik mereka.
"Wahai ikan-ikan sekalian, aku baru sahaja tadi turun dari daratan. Aku terlihat sekumpulan manusia yang sedang bersiap sedia untuk menangkap kamu dengan pelbagai jenis makanan yang lazat-lazat. Ikan yang mereka tangkap akan mereka bakar di atas ungun api yang besar. Oleh itu, janganlah kalian mendekati tebing sungai itu".
"Makanan yang lazat-lazat kata kamu? Kalau macam itu, mereka mesti orang yang baik !", balas seekor ikan.
"Tidak! Makanan itu hanyalah ujian ke atas kamu. Janganlah kamu makan apa yang mereka beri. Jauhilah tebing sungai ini. Bahaya menanti kamu."
"Arghh. Tipulah, sebenarnya kamu yang nak makan makanan itu bukan? Sebab itu kamu suruh kami menjauhi tebing sungai, betul tak?", sergah seekor ikan lagi.
"Tidak sahabat-sahabaku sekalian ! Aku cuma mahukan yang terbaik buat kalian."
Ikan-ikan yang berkumpul tadi beredar. Ada yang terus menuju ke tebing sungai, ada yang terus menjauhi tebing sungai, dan ada juga yang berada sedikt jauh dari tebing sungai, ingin memerhatikan apa yang berlaku.
Keadaan air sungai yang tenang pada petang itu tiba-tiba berkocak dengan kemunculan beberapa ekor cacing yang gemuk-gemuk, menari-nari seolah-olah menggamit ikan-ikan yang berada di sekeliling untuk datang menerpa mereka. Beberapa ekor ikan sudah kelihatan tidak sabar melihat telatah cacing-cacing yang menggoda mereka. Tanpa menghiraukan pesan si katak, beberapa ekor ikan mara dan menerkam cacing-cacing tersebut. Ada yang terus makan keseluruhan cacing sekaligus menyebabkan mereka tertelan mata kail yang terdapat padanya, dan ada juga yang berhati-hati, hanya makan sedikit-sedikit cacing yang terkeluar dari mata kail.
"Hah, tengok ini. Tak ada apa-apa pun? Sah katak tu si penipu !", kata ikan yang paling besar dikalangan mereka.
"Ya betul. Lazat sungguh makanan ini. Ini pertama kali saya merasa makanan sebegini lazat."
"Hey rakan-rakan, kemarilah ke sini, sedap nih. Tak makan, rugiiiiiii.....", ejek seekor ikan kepada rakan-rakannya yang sedang memperhatikan mereka dari jauh. Kelihatan beberapa ekor ikan datang menghampiri mereka akibat tidak tahan melihat 'rezeki' rakan-rakan mereka.
Beberapa ekor ikan tiba-tiba ditarik keatas. Kejadian itu ada diperhatikan oleh beberapa rakannya. Ada yang segera meninggalkan tebing sungai namun ada juga yang masih berdegil.
"Mamat tu bodoh, siapa suruh makan kesemua sekali dengan besi bengkok tu. Tengok macam aku, OK jer. Makan sikit-sikit je la. Pandai-pandilah kalau nak hidup. Hahaha.....".
Kata-kata itu ada yang menyebabkan beberapa ekor ikan yang hendak meninggalkan tebing itu berpatah balik. Ikan-ikan yang ada semua meniru gaya makan sedikit-sedikit seorang rakan mereka bagi mengelakkan dari tertelan mata kail. Apabila umpan habis, akan turun pula umpan baru.
Melihatkan betapa 'berjayanya' rakan-rakan mereka menikmati makanan tanpa ditangkap, beberapa ekor ikan yang pada mulanya tadi hanya memerhatikan dari jauh, berenang pantas meluru kearah tebing sungai.
Masa berlalu. Banyak umpan telah mereka makan. Umpan sudah makin berkurangan sehingga suatu ketika, tiada lagi umpan yang ada.
"Haha... sampai habis juadah mereka kita makan. Tak kene tangkap pon. Memang sah si katak ni sebesar-besar pendusta dan sesat.", kata seekor kata dengan megahnya. "Betul.. katak tu bengong, bodoh punya katak..." tambah seekor ikan lain sambil ditertawakan rakan-rakan mereka.
Tiba-tiba datang suatu jaring besar menutupi mereka semua. Terasa diri mereka ditarik ke atas. Masing-masing makin mendekati antara suatu sama lain, berhimpit-himpit antara suatu sama lain. Ketika sedang ditarik ke atas, ikan-ikan tersebut makin sukar bernafas dan apabila mereka berada di permukaan air, maka terlihatlah pada mereka akan unggun api besar yang diperkatakan oleh si katak tadi.
"Aku beriman (percaya) dengan apa yang dikatakan oleh katak. Memang betul apa yang dikatakannya. Selamatkan aku...", jerit seekor ikan namun pengakuannya itu sudah tidak membawa apa-apa makna lagi. Dia kini telah ditangkap bersama ikan-ikan yang lain.
"Kalaulah aku ikuti nasihat si katak tadi...", kata seekor ikan sambil menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
2 comments:
"kalaulah" itu tidak akan pernah wujud
BEST CTE NIE.. ^_^
Post a Comment