Pada Ramadhan dan awal Shawal yang lalu, saya berkesempatan untuk bersolat di beberapa buah masjid di seluruh Malaysia. Saya banyak 'travel' ke beberapa buah negeri untuk menyelesaikan beberapa tugasan. Saya sempat singgah di beberapa buah masjid di tempat-tempat yang saya kunjungi untuk bersolat. Secara keseluruhannya, saya agak 'takjub' dengan sikap yang ditonjolkan oleh jemaah beberapa masjid yang saya kunjungi. Berikut saya kongsikan pengalaman saya...
Bilal terlebih prihatin
Ketika saya berjalan keluar dari sebuah masjid selepas solat asar, tiba-tiba saya sedar tangan saya dipegang dari belakang. Rupanya-rupanya, tangan saya dipegang oleh salah seorang bilal (tukang azan) masjid tersebut. Saya memberi salam kepadanya dan dia menjawab salam saya. Dia kemudiannya bertanya, "Adik ni anak sapa?".Kebetulan pula, ayah saya juga baru keluar masjid jadi saya tunjukkan tangan saya kearah ayah saya. "Adik kalau nak solat belakang imam kene tahu ganti imam tau?". "Tau.. saya ada (pernah) jadi imam di masjid kat Johor", jawab saya. "Adik solat jemaah bagus, tapi kalau boleh, pakai baju tangan panjang. Makruh pakai baju tangan pendek ni". Terkejut saya dengar kata-kata itu. Sejak bila pulak makruh pakai baju tangan pendek. Setahu saya tiada nas yang menjelaskan perkara tersebut. Yang ada, hanyalah qias dari para ulama tentang melipatkan baju lengan panjang yang dikaitkan dengan hukum mengikat rambut ketika solat.
Niat bilal tadi mungkin baik namun bagi saya, adalah lebih baik jika teguran itu dibuat atas perkara-perkara yang bersifat jelas akan nasnya. Ini kerana teguran sebegini hanya akan menjadikan islam itu kaku. Teguran tentang perkara-perkara khilaf juga perlu dielakkan.
Jarak luar biasa
Pernah satu kali saya datang bersolat di sebuah masjid. Ketika tiba di masjid tersebut, saya dapati solat Zohor baru sahaja hendak bermula dan para makmum sedang mengambil tempat. Alangkah terkejutnya saya melihat jarak diantara para makmum di dalam saf. Setiap makmum mempunyai jarak kira-kira satu jengkal dengan makmum yang lain. Apabila saya tiba, saya merapatkan diri saya dengan makmum di sebelah saya. Ketika solat, saya dapat merasakan yang tindakan saya merapatkan badan dengan makmum di sebelah saya tidak disenanginya namun saya tidak mengendahkan akan hal tersebut kerana apa yang penting bagi saya terutamanya apabila melibatkan soal ibadah, adalah keredhaan Allah, bukannya keredhaan manusia. Sepatutnya, makmum solat dengan merapatkan bahu dan kakinya dengan makmum di sebelah.
Memulakan saf... dari kiri
Suatu hari saya tiba di sebuah masjid untuk solat maghrib dan mendapati imam baru sahaja memulakan solat. Saf pertama telah penuh dan saf kedua telah dimulakan oleh beberapa orang makmum. Apa yang pelik ialah, saf dimulakan bukannya dari tengah (belakang imam) tetapi sebaliknya jauh di sebelah kiri berdekatan sebuah tiang. Siapa la yang ajar mereka ni memulakan saf dari kiri?
Ditegur kerana rapat
Pada waktu yang lain pula, saya datang untuk solat berjemaah. Seperti biasa, saya akan merapatkan diri saya dengan makmum di sebelah. Kali ini, saya bersolat di sebelah bilal (tukang azan) masjid. Tiba-tiba, saya ditegur oleh bilal dengan nada yang agak kasar supaya saya menjarakkan diri saya daripadanya. Badan saya hanya bersentuhan (bukannya bertindih) dengan pak bilal namun dia seakan-akan marah dan mahu saya menjarakkan diri. Pelik bukan? Bukankah setiap kali sebelum solat imam kebiasaannya akan berkata, "Lurus dan rapatkan saf". Tentu seorang bilal tahu akan hal ini bukan?
Makmum tidak berani bergerak
Ada dua kes yang pernah saya lihat di mana makmum kaku dan tidak bergerak terutamanya bila terdapat kekosongan di dalam saf. Kes pertama, apabila salah seorang makmum keluar saf kerana terbatal wuduk. Makmum di belakang makmum yang keluar tadi tidak berganjak untuk memenuhi saf. Makmum disebelahnya juga kaku dan tidak bergerak untuk merapatkan saf. Akhirnya, tinggallah ruang kosong di dalam saf tersebut sehinggalah solat jemaah tamat.
Dalam suatu kes yang lain pula, ia berlaku sebelum solat. Ketika makmum sedang mengambil tempat, saya dapati makmum di sebelah saya agak jauh dan memberitahunya supaya merapatkan dirinya dengan saya. Apa yang menyedihkan adalah, ada makmum yang tidak mengendahkan ajakan saya. Yang pelik dan kadangkala melucukan pula adalah, ada setengah makmum yang pura-pura bergerak merapati saya dengan menggerakkan badan dan kakinya namun setelah saya bersedia untuk takbir, makmum tersebut kembali menjarakkan diri.
---
Kisah di atas adalah diantara beberapa peristiwa pelik yang saya temui ketika bersolat di masjid. Tujuan saya berkongsi kisah-kisah di atas bukahlah untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun untuk menceritakan secara tidak langsung tentang kesilapan para makmum yang harus dibetulkan agar solat jemaah yang kita lakukan lebih sempurna.
Namun begitu jauh di sudut hati saya, perasan sedih menyelubungi diri memikirkan tentang tahap kefahaman agama dikalangan umat islam sekarang. Itu bagi mereka yang bersolat di masjid. Bagaimana pula mereka yang tidak bersolat di masjid atau yang tidak langsung bersolat? Bagaimanakah tahap kefahaman islam mereka?
Bagi saya, kesilapan yang dilakukan para makmum adalah kerana mereka kurangnya pengetahuan dan kefahaman agama. Jadi, apa yang lebih utama sekarang ialah untuk memberi pendidikan dan ilmu agama yang secukupnya agar generasi islam akan datang lebih faham tentang islam. Ini bukan tugas ustaz atau ulama, ini tugas untuk semua orang islam yang mempunyai ilmu tentang agama islam. Sebarkanlah pengetahuan dan kefahaman islam kepada saudara-mara/jiran/rakan anda, namun pastikan apa yang disebarkan itu tepat agar masyarakat makin faham dan mendekati islam dengan betul.
Bagaimana mungkin orang bukan islam hendak faham akan islam jika orang islam sendiri keliru dengan islam?
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
2 comments:
Itulah salah satu hikmahnya kita kena bersembahyang berjemaah di masjid dan menunaikan kewajipan Haji. Masjidil Haram Mekah adalah rujukan umat Islam dalam menunaikan ibadah solat. Umat Islam dari seluruh dunia dan dari serata ceruk kampung akan membetulkan ibadah solat mereka yang mungkin tidak tepat bila melihat imam dan jemaah di masjidil haram bersolat.
Percaya atau tidak, telah hampir 50 tahun umur saya, baru saya tahu irama takbir raya yang selalu kita amalkan itu bukan yang asal dari nabi. Selama ini saya takbir raya seluruh dunia sama saja.
salam apa yang saudara rasa sama sahaja bagi saf perempuan jarak luar biasa, mulakana saf dari kiri dan kanan sanggup mempertahankan fahaman(yang mungkin dia sendiri x faham) mula dari kiri atau kanan sedangkan dia terputus saf dari jemaah yang ramai,menegur pada perkara yang harus, khilaf , lebih sibuk memerhati kesilapan orang daripada menambah kebaikan itulah orang malaysia suka bercakap pada yang dia sendiri x pasti betul atau tidak ...apa yang saudara lalui melalui cerita di atas kakak juga melaluinya dan yang peliknya perkara yang sama...
Post a Comment