Subuh tadi setelah selesai solat berjemaah, saya terfikir sejenak akan aktiviti solat yang dilakukan para jemaah. Ketika solat, semua makmum akan mengikuti iman dengan baik, saf perlu lurus dan tersusun, makmum tidak boleh mendahului imam ketika solat, pergerakan solat makmum berlaku secara teratur mengikut 'arahan' (laungan takbir) daripada imam, makmum tidak boleh ketinggalan melebihi dua rukun solat (atau mereka akan dikira sebagai tidak lagi mengikut imam) dan beberapa lagi peraturan yang telah ditetapkan di dalam solat yang saya renungkan.
Timbul suatu persoalan di kotak minda saya, apa hikmah yang tersembunyi disebalik semua peraturan ini? Kenapa ditetapkan sedemikian? Apa hikmah disebalik aturan tersebut? Apa yang pasti, setiap sesuatu yang ditetapkan Allah SWT pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Dan memang benar, ada pengajaran yang tersebunyi disebaliknya.
Solat berjemaah secara tidak langsung sebenarnya mengajar kita cara untuk berorganisasi. Seringkali kita dengar bahawa organisasi yang baik perlu kepada seorang pemimpin yang berkaliber, bijak dan berpandangan jauh. Namun demikian, kita juga perlu sedar bahawa pemimpin yang baik tanpa pengikut yang baik juga akan menyebabkan berlaku pelbagai kesukaran di dalam berorganisasi.
Pernahkah anda mendengar akan kisah tentera Thalut? Kisah ini terjadi sesudah zaman Nabi Musa di mana masyarakat Bani Israel telah meminta kepada nabi mereka iaitu Nabi Samuel untuk mengangkat seorang raja bagi memerangi Jalut dan pengikutnya yang telah mengusir mereka dari kampung halaman mereka. Jalut adalah seorang panglima perang yang besar, gagah dan sangat ditakuti. Allah SWT telah memilih Thalut untuk memimpin Bani Israel bagi menentang Jalut. Di pendekkan cerita, di dalam perjalanan menuju ke medan perang, tentera Thalut telah melalui sebatang sungai. Thalut telah menasihatkan agar anggota tenteranya tidak minum dari sungai tersebut melainkan hanya satu cedok air sahaja. Namun demikian, terdapat sebilangan pengikutnya yang tidak mengendahkan arahan tersebut yang minum air sepuas-puasnya. Akibatnya, mereka hilang semangat untuk berperang (akibat kekenyangan).
Thalut meneruskan perjalanannya menuju ke medan perang meninggalkan pengikut-pengikutnya yang melanggar perintah. Walaupun jumlah yang pergi berperang adalah sedikit berbanding sebelumnya, namun mereka yang pergi berperang tersebut terdiri daripada pengikut-pengikut yang taat pada perintah. Salah seorang yang berada di dalam tentera Thalut ketika itu adalah Nabi Daud AS yang ketika itu masih remaja. Dan dengan izin Allah SWT, tentera Thalut berjaya menewaskan tentera Jalut dan Nabi Daud AS sendiri telah membunuh Jalut.
Kisah tadi menceritakan akan betapa sesuatu organisasi yang walaupun kecil dari segi saiz, namun kualiti mereka yang berada di dalam organisasi tersebut dan dengan izin Allah, menyebabkan mereka berjaya mencapai matlamat mereka.
Solat berjemaah sebenarnya mendidik kita agar menjadi pengikut yang baik. Terdapat beberapa pengajaran daripada solat berjemaah yang telah saya kenalpasti. Untuk memudahkan penerangan, saya telah menyiapkan suatu jadual yang merumuskan 3 pengajaran yang dapat diperoleh daripada aktiviti solat berjemaah:
Aktiviti solat berjemaah | Pengajaran dalam berorganisasi |
Imam perlu mengetahui bacaan surah-surah penting dan beberapa perkara asas sebelum boleh menjadi imam. | Pemimpin perlu mempunyai ilmu asas dalam kepimpinan sebelum layak menjadi pemimpin. |
Makmum tidak boleh mendahului imam dan harus mengikut imam tanpa tertinggal sehingga 2 rukun solat. | Pengikut harus sentiasa bersama-sama dengan pemimpin di dalam melaksanakan sesuatu agenda (tidak boleh mendahului atau ketinggalan). |
Makmum boleh menegur imam bagi perkara-perkara yang melibatkan rukun dan makmum boleh mufarakah (meniggalkan imam) jika solat imam terbatal. Namun demikian, jika imam tertinggal perkara sunat, makmum perlu ikut imam dan tidak perlu tegur akan hal tersebut. | Pemimpin boleh ditegur jika melakukan kesalahan dan pengikut boleh meninggalkan pemimpin jika pemimpin melakukan kesalahan yang berat. Namun demikian, adalah lumrah jika pemimpin melakukan kesilapan kecil (pemimpin juga manusia) atau tersilap di dalam membuat keputusan (dalam hal-hal yang tidak kritikal/rukun) dan pengikut perlu mengikut dan memberi sokongan pemimpin. Contoh: Pemimpin ada lancarkan suatu program namun program tersebut kurang berjaya. Pengikut yang baik sepatutnya tidak mengutuk secara terbuka akan kegagalan program tersebut kerana ini akan menjejaskan semangat berpasukan organisasi tersebut selain berpotensi untuk mewujudkan keretakan di dalam organisasi. |
Mungkin terdapat banyak lagi pengajaran dan hikmah yang tersembunyi di dalam ibadat solat. Maha Suci Allah yang telah menjadikan segala sesuatu tanpa sia-sia. Solat yang Allah wajibkan keatas kita sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat yang menguntung mereka yang mengamalkannya.
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
0 comments:
Post a Comment