Alhamdulillah, syukur dan gembira saya melihat anak-anak muda sibuk dalam mempelajari ilmu agama di masjid. Mereka kelihatan cukup bersemangat untuk belajar dan mendalami ilmu. Berlinang air mata apabila diceritakan azab di neraka bagi mereka yang banyak dosanya. Pada masa yang sama juga, timbul kerisauan di hati saya. Kerisauan saya berpunca daripada cabaran hidup sekarang yang cukup mencabar.
Teringat saya kepada beberapa kawan saya yang dahulunya selalu berkopiah dan terkenal dengan jolokan 'kaki masjid'. Itu di zaman belajar dahulu, ketika kami masih muda dan masing-masing berada di dalam persekitaran yang terkawal. Namun sekarang, semua telah berubah.
Melihat kepada akaun Facebooknya, saya menjadi sedih. Pelbagai gambar-gambar didalam Photo Albumnya yang kalau dilihat, pasti tiada siapa yang menyangka bahawa si polan dulu merupakan salah seorang yang selalu mengimarahkan masjid. Mengapa semua ini boleh berlaku?
Semasa berada di 'persekitaran yang terkawal', kami menerima pendidikan yang sama. Jarang menonton televisyen, jadi kami kurang terdedah dengan cara hidup yang salah. Sebaliknya, kami banyak didedahkan dengan ilmu agama yang membimbing kami ke jalan yang lurus.
Apabila keluar di 'luar sana', semuanya lain. Tiada siapa yang menghalang sesiapa untuk melakukan apa sahaja. Jika dahulu kami berada dikalangan mereka yang menutup aurat, kini kami berada di dalam persekitaran yang aurat seolah-olah bukan merupakan suatu perkara yang penting. Jika dahulu, TV jarang ditonton, kini filem-filem barat diatur sebagai tontonan hujung minggu.
Musik-musik video yang tidak senonoh menjadi santapan biasa setiap hari. Cerita-cerita hiburan menjadi kebiasaan. Gaya hidup tidak islamik seperti dating menjadi kemestian. Berpegangan tangan di antara lelaki dan perempuan ajnabi menjadi perkara yang dibanggakan. Pendek kata, suasana telah berubah.
Timbul pula suatu persoalan, "Kenapa pendidikan yang diterima dahulu, kelihatan seolah-olah tidak membantu?"
Pendidikan ibarat 'ubat', manakala perkara-perkara buruk yang saya sebutkan tadi ibarat 'racun'. Kalau kita lihat kehidupan hari ini, 'racun' terdapat dimana-mana.
Ketika belajar dahulu, kami sentiasa dibekalkan dengan ubat, maka tidak hairanlah kami boleh meghadapai racun di luar sana. Namun, apabila kami keluar, tiada siapa yang memberikan ubat setiap hari seperti diwaktu kami belajar dahulu. Terpulang kepada kamilah untuk mencari sendiri bekalan ubat kami untuk menempuh cabaran racun di luar sana.
Lebih memburukkan keadaan, apabila terdapat segolongan daripada kami yang mula berjinak-jinak dengan racun. Sudahlah ubat tidak dicari, racun pula mula diteguk. Maka tidak hairanlah jika mereka yang dahulunya baik, sekarang hanyut di dalam pujukan maksiat.
Persekitaran sekarang sangat mencabar. Sudah menjadi kewajipan setiap individu untuk mendalami ilmu agama bagi membolehkan mereka hidup di dalam tsunami racun yang melanda dunia, terutamanya apabila keluar daripada persekitaran yang terkawal.
Memang hampir mustahil untuk menjadikan seluruh negara sebagai kawasan terkawal terutamanya di zaman dimana media tidak lagi mengenal erti sempadan geografi. Namun, adalah tidak mustahil untuk kita terus-menerus menelan penawar kepada racun yang berada di sekeliling kita.
Adalah penting untuk kita mendidik diri dan generasi muda khususnya supaya terus mencari ubat untuk 'hidup'. Gagal mencari ubat bererti gagal untuk hidup.Cabaran hidup kini sangat hebat. Jika dulu ubat dicari untuk menjadi semakin sihat, kini ubat menjadi wajib dimakan hanya untuk hidup !
Sudahkah anda mengambil dos ubat anda hari ini?
Sharing is caring, share this page with your friends: Share
0 comments:
Post a Comment