Sedih dan pilu hati ini bila melihat rakan laman sosial sering menghamburkan kata-kata kesat, saban hari terhadap pelbagai perkara yang berlaku baik terhadap diri sendiri, keluarga mereka, rakan-rakan, mahupun tentang hal ehwal negara. Entah mengapa semakin ramai saudara seagamaku yang mudah hilang sabar dari menahan diri dari megeluarkan kata-kata sedemikian.
Imam Abu Hanifah apabila beliau ditanya pendapatnya tentang seorang tetangganya yang melakukan kezaliman terhadap dirinya, beliau langsung tidak mencerca, menceritakan keburukannya, mahupun menyimpan dendam akan hal tersebut, bahkan beliau menceritakan pula kebaikan tetangganya tersebut. Suatu hari tetangganya berhenti dari melakukan kezaliman terhadapnya, lalu ini menimbulkan kerisauan Imam Abu Hanifah yang lantas melawat tetanggnya yang ternyata sedar terlantar sakit.
Begitulah juga halnya dengan imam-imam besar Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang lain. Mereka juga mengelakkan diri mereka daripada menuturkan perkara-perkara yang buruk tanpa sebab yang dibolehkan syarak.
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
"Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik atau diam" (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Imam Nawawi dalam mengulas hadis ini, menjelaskan bahawa menurut sunnah, seseorang hendaklah menahan diri daripada banyak berbicara kerana perkataan yang asalnya mubah (yakni perkara yang tidak berdosa dan tidak pula berpahala apabila dilakukan) sekalipun kadangkala boleh menjurus kepada haram atau makruh dan yang demikian itu banyak berlaku di dalam kehidupan seharian sementara keselamatan (lisan) merupakan sesuatu yang mahal harganya.
Nabi SAW pernah bersabda seperti yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa:
"Sesungguhnya adakalanya seseorang mengeluarkan kata-kata yang tidak difikirnya terlebih dahulu apakah baik atau tidak, lalu menyebabkan dia tergelincir ke neraka yang dalamnya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat" (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kepada saudaraku, peringatan ini saya tujukan kepada diri saya dan juga kalian. Takutlah pada siksa api neraka Allah yang bahan bakarnya manusia dan batu-batu berhala, yang disediakan khas bagi mereka yang ingkar akan peringatanNya.
Ingatlah bahawa Allah pernah berfirman:
"Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang selalu hadir" [Surah Qaf (50), ayat 18]
Janganlah kita terpengaruh dengan budaya 'kebebasan bersuara' tanpa berpandukan ajaran islam, agama kita. Kawal lah apa yang kita cakap dan apa yang kita tulis, baik dalam laman sosial mahupun laman web atau blog. Ingat ! Ada malaikat yang sentiasa mencatat setiap amalan kita tidak kira kecil mahupun besar di dalam suatu buku catatan amalan yang kemudiannya, akan diserahkan kepada kita di padang mahsyar kelak.
Dan beruntunglah mereka yang menerima catatan amalannya dengan tangan kanan...
0 comments:
Post a Comment